Ceritalah ASEAN - Ada Apa Dengan Cinta: Lebih daripada sebuah filem

Karim Raslan
September 15, 2016 12:13 MYT
Watak Cinta dimainkan oleh Dian Sastrowardoyo, seorang pelakon yang dianggap mempunyai kecantikan bagai bidadari seperti Kate Winslet. - Foto Karim Raslan
INDUSTRI perfileman di Indonesia sedang menempuh zaman kebangkitan. Sepanjang tahun 2016, lapan buah filem telah berjaya mengumpul kutipan tiket lebih satu juta, sedangkan hanya tiga buah filem sahaja yang memperoleh kejayaan yang sama pada tahun 2015.
Dengan penggambaran adegan-adegan di sekitar ibu kota yang padat dan malam pembukaan berkarpet merah penuh meriah dan bergaya, sememangnya Jakarta kini mendapat jolokan sebagai "Jollywood".
Tidak dinafikan fenomenon ini sebenarnya tercetus melalui filem “Ada Apa Dengan Cinta?” (AADC1) yang ditayangkan pada tahun 2002 dan sekuel keduanya 14 tahun kemudian, iaitu “Ada Apa Dengan Cinta? 2” (AADC2), yang terbit di layar perak pada 2016.
Kedua-dua filem romantik komedi anak muda ini (bertema seperti filem Notting Hill dan ala arahan Simon Curtis) – hasil karya bersama oleh penerbit/pengarah Riri Riza dan Mira Lesmana – sudah pun menjadi ikonik dan dikait rapat dengan identiti pasca-Reformasi Indonesia. Setiap tayangan dianggap sebagai acara nasional apabila penonton diajak berhenti seketika untuk memerhati situasi sementara landskap sosio politik negara sambil dibuai keasyikan adegan percintaan Cinta dan Rangga. Watak Cinta dimainkan oleh Dian Sastrowardoyo, seorang pelakon yang mempunyai kecantikan bagai bidadari seperti Kate Winslet, manakala watak Rangga dimainkan oleh Nicholas Saputra, pelakon kacak yang penuh misteri.
Mira Lesmana menjelaskan: “Industri filem tempatan berada dalam keadaan "koma" dan tenat sepanjang 1990-an. Semua filem pada masa dahulu memerlukan permit dan penapisan. [Mantan Presiden Indonesia Abdurrahman Wahid] Gus Dur akhirnya telah membebaskan industri filem daripada sekatan-sekatan ini.
Didorong kejayaan yang memeranjatkan menerusi sebuah filem kanak-kanak berjudul ‘Pertualangan Sherina’ pada 2002, Mira dan Riri memberanikan diri meneroka pasaran filem remaja. “Ramai yang berpendapat bahawa ini sesuatu yang mustahil, namun kami percaya, komunikasi yang baik boleh wujud dengan memahami bahasa dan budaya mereka”.
Para penerbit filem dapat menggunakan "bahasa gaul" (bahasa pasar) setelah sekatan dan kawalan zaman Suharto dimansuhkan. AADC1 juga telah berjaya menggabungkan karya puisi mantap oleh pejuang kemerdekaan Chairil Anwar sementara skripnya ditulis seniman Sjuman Djaya. Kombinasi ini sangat menakjubkan terutamanya apabila kedua-dua pelakon utama bersilih ganti antara dua tahap (seorang tinggi dan seorang bawahan, tidak jauh berbeza dengan konsep 'kromo inggil dan kasar' dalam Bahasa Jawa) menjadikan satu sekuens babak-babak indah yang diakhiri dengan reaksi Cinta apabila Rangga mendedikasikan sebuah puisi untuk gadis yang dicintai tetapi harus ditinggalkan sementara.
Tambahan pula, bagi Riri, runut bunyi (soundtrack) filem tersebut amat penting dalam mengukuhkan drama tersebut. Lagu-lagu temanya dinyanyikan oleh Anto Hoed dan Melly Goeslaw. Benarlah seperti kata Riri: “Filem ini telah berjaya merakamkan dan menonjolkan ke-Indonesian golongan belia di negara ini”.
AADC1 ditayangkan pada awal 2002 dengan tema dan plot yang optimistik tetapi meyakinkan – bahawa cinta dan persahabatan dapat mengatasi prejudis dan keganasan – sesuatu yang bertentangan dengan realiti politik yang suram di Indonesia ketika itu di mana Megawati Soekarnoputri mengambil alih tampuk pemerintahan selepas pemecatan Presiden Gus Dur manakala Ambon dan Kalimantan turut diancam keganasan bertemakan agama dari semasa ke semasa.
Jelas bahawa naratif AADC berlaku ketika era pasca-Reformasi yang penuh dengan ketidaktentuan dan kesuraman. Namun, ia mengambil kesempatan untuk menonjolkan satu sisi Jakarta yang romantik dan tidak terlibat sebelum ini. Filem itu memperlihatkan ibukota itu sebagai sebuah tempat percintaan, mimpi boleh menjadi kenyataan sambil menampilkan kafe-kafe serba sederhana, kedai-kedai buku terpakai dan lorong lorong di pinggir bandar yang kelam.
Tetapi, hubungan percintaan ini bertemu dengan pengakhiran yang tidak jelas. Setelah kedua-dua Cinta dan Rangga meluahkan rasa cinta, Rangga bertolak ke New York. Hanya seutus surat yang mengandungi puisi luahan hati Rangga kekal bersama Cinta. Tiada kepastian.
Empat belas tahun kemudian, setelah sebuah filem pendek yang dihasilkan untuk LINE oleh penerbit drama dari South Korea menjadi viral, Rangga dan Cinta kembali semula ke dalam hidup masyarakat Indonesia.
AADC2 muncul sebagai sekuel yang tidak mengecewakan – luar daripada kebiasaan – dengan mengaut jualan tiket sebanyak 3.7 juta dan mencetuskan gelombang histeria di panggung wayang seluruh negara. Fenomena ini persis yang dialami di Filipina oleh pelakon John Lloyd Cruz – yang amat diminati oleh golongan wanita – apabila filem hangatnya “A Second Chance” mula ditayangkan.
Di dalam AADC2, pasangan kekasih ini – bangkit bersama Indonesia – mengalami pelbagai perubahan ketara. Kedua-dua mereka kini lebih matang dan Cinta kini adalah seorang pemilik kedai hipster manakala Rangga merupakan pemilik sebuah kafé di New York.
Dalam sekuel ini, bandar Yogyakarta - yang kaya dengan sejarah, ketamadunan dan kesenian - menjadi titik pertemuan kembali cinta dua insan ini, menggantikan peranan puisi dalam AADC1. Magis kecantikan Yogya telah berjaya meredakan kemarahan Cinta kepada Rangga yang telah lama menyepi dan tidak pulang ke Indonesia selama satu dekad. Akhirnya (ini filem cinta!) - sepasang kekasih ini kembali bersama dalam ikatan cinta yang mekar.
AADC1 lebih kepada kisah dunia remaja yang bertukar dewasa, mencari identiti diri dan membuat pilihan sukar: sahabat, keluarga, kekasih? Manakala AADC2 pula lebih berkisar kepada menerima pilihan dan keputusan hidup sebagai seorang dewasa yang mampu menentukan jalan hidup sendiri.
Mungkin inilah sebabnya mengapa filem-filem AADC ini begitu terkesan dengan masyarakat Indonesia. Filem ini menceritakan dari segi emosi, perjalanan bangsa Indonesia pasca Reformasi, cabaran yang diredah, perubahan yang telah dilalui bersama dan berapa jauh lagi negara dan bangsa ini mampu pergi?
Sememangnya, jangkaan dan harapan penonton merupakan beban berat yang dipikul dua tonggak utama filem tersebut, Dian dan Nicholas, selama lebih 14 tahun. Pada satu sisi, ia satu tanggungjawab untuk memartabatkan kegemilangan industri perfileman Indonesia, dan pada sisi lain, yang jauh lebih penting - ia merupakan harapan dan impian seluruh bangsa Indonesia pada pasangan kekasih Rangga dan Cinta.
Oleh itu, saya yakin ada kemungkinan sekuel filem ketiga akan dihasilkan di masa hadapan. Ini kerana sudah tentu warga Indonesia akan mahu mengikuti perkembangan Rangga dan Cinta (sama seperti generasi terdahulu mengikuti perkembangan watak wayang kulit, Arjuna dan Srikandi) sebagai sumber hiburan, bimbingan dan apa yang lebih penting sebagai "kenangan bersama" yang dikongsi satu generasi.
Dapatkan lebih banyak cerita menarik dari rantau ini di sini
#Ada Apa Dengan Cinta #Ceritalah ASEAN #Dian Sastrowardoyo #Indonesia #industri perfileman #Karim Raslan #Mira Lesmana #pasca-Reformasi
;