Ceritalah: Apa yang dapat kita pelajari dari musim pilihan raya Asia

Karim Raslan
Jun 18, 2019 11:13 MYT
Penggunaan politik identiti merupakan perkara biasa dalam kempen pilihan raya Prabowo Subianto. The Straits Times
DALAM separuh pertama tahun ini, empat gergasi Asia mengadakan pilihan raya. Sehingga satu bilion pengundi terlibat, kesemuanya dalam masa selang beberapa minggu antara satu sama lain.
Pasukan Ceritalah turut berada di lapangan, di Thailand, Filipina, India dan Indonesia.
Di Eluru pada bulan April, lebih kurang dua jam ke timur laut Amravati, ibu kota Andhra Pradesh, kami menemui sebuah kota yang padat dengan manusia. Cuacanya panas terik mencecah kira-kira 42 darjah Celcius, dengan muzik dikumandangkan melalui pembesar suara sambil orang ramai menanti ketibaan seorang calon.
Sebaliknya, ketika Pasukan Ceritalah berada di kota Phitsanulok di Thailand pada Februari sebelumnya, suasana di sana sunyi dan tenang.
Pada April lalu dan hanya beberapa hari sebelum pengundian, Pasukan Ceritalah turut menyertai ratusan ribu orang di stadium utama Jakarta, Gelora Bung Karno (atau GBK). Di tengah-tengah lautan merah dan putih, para hadirin bersorak ketika calon presiden yang juga penyandang jawatan, Joko Widodo (Jokowi) naik ke pentas yang dibina khusus seperti seorang bintang rock.
Kini apabila keadaan sudah tenang, apakah yang dapat kita pelajari dari pengalaman itu?
Terdapat lima perkara yang ketara.
Pertama, kedudukan sebagai penyandang ternyata adalah diambil kira. Mungkin ada gegaran di semua empat negara, tetapi pilihan raya mereka lebih kurang mengesahkan teori lama yang menyatakan bahawa adalah sukar hendak menjatuhkan pemimpin yang bertahan.
Ini mungkin sesuatu yang tidak begitu mengejutkan kepada seorang penyandang jawatan yang popular seperti Jokowi, tetapi bagaimanakah kita hendak menjelaskan tentang parti-parti seperti parti pro-tentera Palang Pracharath (PP) di Thailand yang menang melebihi jangkaan, atau Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Narendra Modi di India yang memenangi 303 kerusi Lok Sabha, lebih 21 kerusi berbanding pada 2014?
Ini membawa saya ke perkara kedua: ia tidak semestinya mengenai ekonomi. Kebanyakan negara-negara yang menjalankan pilihan raya mengalami kekangan ekonomi: termasuk kebimbangan mengenai kos sara hidup, kewujudan peluang pekerjaan, kejatuhan harga komoditi dan kepayahan dalam pertanian.
India, sebagai contoh telah menyaksikan kejatuhan penggunaan.
Menurut satu laporan Economic Times Intelligence Group pada awal Mei 2019, pertumbuhan dalam jualan kereta penumpang adalah paling rendah dalam lima tahun. Pertumbuhan bilangan syarikat bagi Fast Moving Consumer Goods (FMCG) iaitu produk yang laju dalam pasaran -- yang bergantung pada kawasan luar bandar bagi lebih sepertiga jualan -- telah jatuh ke kedudukan rendah 6-7 suku.
Sebahagian keadaan ini dikaitkan dengan pertumbuhan pendapatan ladang yang lemah.
Dan sungguhpun begitu, pekedai-pekedai Mumbai yang ditemui Pasukan Ceritalah masih optimis -- dan hampir kesemua mereka adalah penyokong Modi.
Dalam kesibukan Pasar Tambak Colaba di Mumbai selatan, pekedai seperti Chetan Premar, 29 tahun, yang berasal dari Rajasthan, seharusnya menjadi antara orang terawal yang merasai kesan keadaan ekonomi yang semakin perlahan.
Sungguhpun begitu, dia memberitahu pasukan kami: "Orang semakin kurang membeli sekarang, tetapi tidak mengapa, kerana memang biasa begitu keadaannya setiap tahun. Tunggulah beberapa bulan lagi: akhirnya mereka akan datang dan membeli dengan banyak. "Ini cuma satu corak biasa - lihat sahajalah."
Tetapi, mengapakah para pengundi memberikan pemimpin mereka suatu "laluan mudah" berhubung keadaan ekonomi mereka kali ini?
Hujah ketiga dan keempat saya: karisma itu penting, begitu juga politik identiti.
Pemimpin seperti Modi di India dan Rodrigo Duterte di Filipina adalah tokoh yang mempunyai penampilan yang luar biasa dan menarik. Golongan elit metropolitan mungkin berasa tidak selesa dengan gelagat mereka, tetapi disebabkan hakikat bahawa kedua-duanya sangat berbeza antara satu sama lain, para pengundi lebih tertarik kepada Duterte.
Sebaliknya, pengundi Indonesia jelas lebih menyukai Jokowi yang rendah diri dan praktikal berbanding pesaingnya yang lantang dan tidak menentu, bekas ketua tentera Prabowo Subianto.
Dan suka atau tidak, kelihatan bahawa majoriti pengundi India telah membuat keputusan untuk berdiri di belakang politik golongan majoriti Hindu Hindutva yang ditonjolkan Modi dan BJP.
Pemomokan minoriti India Muslim dan Pakistan, serta juga isu-isu penentu seperti perlindungan lembu mengatasi kegagalan Modi dalam menguruskan ekonomi.
Malah, 19.7 peratus pengundi India yang menyokong BJP pada tahun 2019 dilaporkan datang dari Kelas Terkebelakang yang Lain (OBC), yang merupakan suatu ironi kerana parti itu secara tradisi merupakan kubu kuat kelas atasan yang selalu menindas mereka.
Dan dengan mengambil kira perhatian yang wajar terhadap kesahihan pilihan raya itu, kemenangan PP yang disokong Prayuth Chan-o-Cha di 116 kerusi dewan rendah dan 23.74 peratus undi popular (suatu pluraliti) besar kemungkinan boleh dikaitkan dengan konservatisme 19.5 peratus pengundi Thai berusia 61 tahun ke atas, dan juga kebimbangan terhadap kembalinya kekecohan era Thaksin Shinawatra.
Malah Jokowi, pada tahap tertentu, terpaksa melakukan permainan angka. Sokongan yang diberikan pertubuhan haluan sederhana Nahdlatul Ulama (NU) meningkatkan tabung undinya di Jawa Timur dan Barat, jauh mengatasi kekalahan yang dialaminya di lain-lain kubu kuat Islam di Jawa Barat dan sebahagian besar Sumatera, yang mengalami kejatuhan teruk harga minyak sawit dan getah.
Sungguhpun begitu, dasar-dasar beliau yang berpusat pada rakyat seperti skim Dana Desa juga menumpulkan ketajaman serangan ekonomi populis terhadapnya.
Akhir sekali; dan ini juga boleh ditujukan kepada pembangkang di mana-mana jua: tidak ada jalan pintas untuk mendapatkan kuasa.
Kesilapan ini boleh kami katakan berlaku berulangkali di negara-negara yang kami lakukan tinjauan.
Di India, Rahul Gandhi kelihatannya hanya menawarkan tidak lebih daripada namanya; gagal menjalin pakatan lebih kuat dengan sekutu-sekutunya di wilayah-wilayah, seperti Parti Aam Admi di Delhi atau BSP-SP di Uttar Pradesh. Ini dipercayai telah menjejaskan kem anti-Modi melalui pemecahan undi akibat daripada pertarungan pelbagai penjuru.
Di Filipina, senarai calon senator "Otso Diretso" (Laras Lapan) yang disokong Parti Liberal memberi tawaran lebih sedikit daripada sekadar menjadi sekutu Duterte.
Di Thailand, sebuah lagi parti yang disokong Thaksin, Thai Raksa Chart (TRC) telah membuat kesilapan besar dalam perkiraan mereka untuk cuba mencalonkan Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi sebagai Perdana Menteri mereka.
Ini membawa kepada pengharaman TRC dan secara langsung terhapusnya kedudukan majoriti kem Thaksin di dewan rendah, kerana sepatutnya mereka boleh menang kerusi yang disasar parti sambil parti Pheu Thai (PT) menumpukan perhatian kepada kawasan dengan ahli tunggal.
Jadi, begitulah keadaannya.
Kelihatannya - dengan beberapa pengecualian ketara - tokoh pemimpin yang kuat akan terus berkuasa di Asia.
Seseorang hanya boleh berharap bahawa demokrasi dan juga pluralisme di negara-negara ini akan lebih kuat daripada kitaran pilihan raya, dan, lebih penting lagi, walau apa pun terjadi, nasib rakyat akan dapat diperbaiki.

* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Asia #Ceritalah #Filipina #India #Indonesia #Joko Widodo #Karim Raslan #Narendra Modi #pembangkang #pilihan raya #politik #Rodrigo Duterte #Thailand #Thaksin Shinawatra