Cerita dari Gaza: Kekejaman Zionis perlu dihentikan
Fareez Azman
Mei 22, 2021 22:34 MYT
Mei 22, 2021 22:34 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan rejim Zionis Israel melancarkan serangan terhadap penduduk Palestin selepas solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa membuktikan bahawa rejim itu tidak menghiraukan gesaan dunia.
Rejim yang kejam, zalim dan tidak bertamadun itu dilihat seolah olah bermaharaja lela melakukan jenayah perang terhadap penduduk Palestin.
Astro AWANI menemubual salah seorang penduduk Palestin pada Jumaat bagi menceritakan detik-detik cemas yang terpaksa dihadapi rakyat Palestin setiap hari.
Perlu tekanan lebih kuat terhadap Israel
Menurut Dr Abdullah Waleed yang juga Anggota Majlis Perhubungan Antarabangsa di Gaza, sudah tiba masanya tekanan lebih kuat diberikan terhadap Israel terutama dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
"Rakyat Palestin mengharapkan lebih daripada apa yang dilakukan negara-negara di dunia sekarang, terutamanya isu di Baitulmaqdis.
"Baitulmaqdis adalah isu utama dihadapi rakyat Palestin, ini amat penting dan kritikal bagi negara Islam. Ini adalah kawasan suci umat Islam, sudah tentu harapan terhadap OIC dan negara-negara Islam, (mereka) perlu melakukan tekanan lebih besar daripada apa yang dibuat sekarang.
"Tetapi mereka (OIC) dilihat masih menggunakan cara diplomatik (cara lembut) untuk menyelesaikan isu ini, malangnya ia tidak membantu rakyat Palestin," katanya.
Mengulas lanjut berkenaan tindakan negara-negara Arab pula, tambah Dr Abdullah, mereka dilihat melakukan yang terbaik dalam membantu Palestin.
Namun tindakan sama iaitu tekanan yang lebih keras dilihat boleh menundukkan Zionis Israel.
"Mereka boleh laksanakan tindakan yang lebih baik daripada sekarang, kebanyakan negara Arab mempunyai misi diplomatik antara mereka dan Israel, mereka boleh sahaja menggunakan tekanan politik di situ.
"Banyak negara Arab mempunyai hubungan dengan Israel, oleh sebab itu negara Arab boleh saja mengenakan tindakan sekatan terhadap Israel terutamanya dari sudut ekonomi.
"Banyak sudut yang boleh diambil tindakan terhadap rejim Zionis, tetapi malangnya negara-negara ini masih menggunakan 'soft approach' yang mana tidak akan diendahkan oleh Israel," katanya lagi.
Teruskan solidariti bantu kami
Dalam pada itu, kata Dr Abdullah kezaliman Zionis lebih 70 tahun terhadap rakyat Palestin perlu dihentikan segera.
Jelasnya, solidariti dari sudut politik terhadap Palestin perlu diperkuatkan lagi dalam memberi tekanan terhadap rejim Israel.
"Untuk pastikan gerakan solidariti terhadap Palestin ini terus kuat, amat penting untuk tekanan dibuat oleh komuniti antarbangsa, diplomatik terhadap Israel.
"Kita harapkan negara Islam dan seluruh dunia untuk terus melawan kekejaman Zionis ini terhadap rakyat Palestin terutama di Baitulmaqdis," tegasnya lagi.
Menceritakan keadaan terkini di Gaza pula, jelas Dr Abdullah, sehingga kini pelbagai masalah dihadapi oleh mereka terutamanya dari sudut fasiliti kesihatan.
Fasiliti kesihatan dibom pihak Zionis
Makmal menguji saringan COVID-19 juga telah musnah dibom pihak Zionis.
"Sebelum keganasan Zionis, di Gaza sudah berdepan dengan isu COVID-19. Kami mempunyai pergerakan yang terhad, sekolah ditutup, tidak dibenarkan majlis sosial diadakan.
"Tetapi selepas keganasan berlaku, makmal untuk kami membuat saringan COVID-19 juga telah musnah kerana dibom. Fasiliti itu berada dalam bangunan Kementerian Kesihatan yang musnah baru baru ini.
"Jadi kesukaran timbul ketika ini, tetapi kami perlu mengikut protokol COVID-19 seperti dikeluarkan," katanya lagi.
Lebih malang, perubatan juga semakin berkurangan untuk merawat pesakit serta penduduk Palestin yang tercedera dalam keganasan Zionis Israel.
12 jam gencatan senjata, malam paling indah
Menceritakan kedamaian yang berjaya dicapai meskipun dalam tempoh 12 jam gencatan senjata dicapai oleh kedua-dua pihak, bagi Dr Abdullah, malam itu adalah malam paling tenang buat penduduk di Gaza.
Ia selepas episod ribuan bom meledak di bumi Anbia itu sejak dua minggu lalu.
"Situasi ini tidak menakutkan kami, memang Israel menggunakan senjata sofistikated di mana boleh saya dengar letupan bom setiap malam.
"Itu mungkin boleh buatkan anda takut, tetapi perasaan kami bercampur baur, kami sentiasa bersedia untuk berkorban jika ini yang berlaku.
"Kamu boleh lihat apabila sesuatu tempat itu dibom, lebih ramai rakyat Palestin akan pergi ke kawasan itu dan ucap Alhamdulilah jika ini ketentuan Allah," jelasnya lagi.
Terima kasih rakyat Malaysia
Tidak pernah berputus asa, semangat rakyat Palestin untuk menuntut kembali hak mereka tidak akan berakhir.
Malah, jelas Dr Abdullah, setiap kali berlaku kematian akibat kekejaman Zionis yang jijik, semangat penduduk Palestin bertambah kuat.
"Ini adalah cara kami tunjukkan keberanian, kami tidak sedih apabila hilang rumah, atau keluarga tersayang kerana perjuangan ini amat penting buat kami.
"Kami bersedia untuk berkorban dengan hati yang reda, setiap kali berdepan dengan tindakan zalim, kami akan bangkit dengan semangat yang lebih kuat," katanya lagi.
Dalam masa sama, Dr Abdullah turut menzahirkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan negara-negara luar yang sentiasa menyokong perjuangan Palestin.
#Kuala Lumpur
#UNSC
#jenayah
#rejim Zionis
#Israel
#Malaysia
#oic
#negara
#bantuan
#serangan Gaza
#AL-Aqsa
#Baitulmaqdis
#Palestin
#rakyat
#COVID-19