CEO Telegram Durov disiasat kes pornografi kanak-kanak

Astro Awani
Ogos 27, 2024 09:15 MYT
Durov ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap seseorang yang tidak dinamakan, yang dilancarkan oleh Unit Jenayah Siber pejabatnya pada 8 Julai. - Foto REUTERS
PARIS: Pengasas aplikasi mesej Telegram, Pavel Durov, ditahan di Perancis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap jenayah termasuk pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah dan transaksi penipuan di platform tersebut.
Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Isnin mengesahkan penahanan Durov, yang berlaku di Lapangan Terbang Le Bourget di luar Paris pada petang Sabtu.
Macron menegaskan bahawa tidak ada motif politik dalam penahanan tersebut, walaupun terdapat banyak komen palsu di dalam talian.
Tambah beliau Perancis tetap komited terhadap kebebasan bersuara yang sah.
Manakala Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau, mengeluarkan kenyataan bahawa Durov ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap seseorang yang tidak dinamakan, yang dilancarkan oleh Unit Jenayah Siber pejabatnya pada 8 Julai.
Siasatan ini juga melibatkan dakwaan pengendalian platform yang membenarkan transaksi haram, pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah, penipuan, serta pengubahan wang haram.
#Pavel Durov #Emmanuel Macron #pornografi kanak-kanak #Telegram