CEO Huawei sifatkan penahanan anaknya satu bentuk pengajaran

Agensi
Ogos 26, 2019 21:24 MYT
Meng Wanzhou yang juga Ketua Pegawai Kewangan syarikat teknologi gergasi China itu sebelum ini ditahan pihak berkuasa Kanada Disember lalu. - Sumber: www.huawei.com
PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Ren Zhengfei menyifatkan penahanan anaknya, Sabrina Meng Wanzhou sebagai satu bentuk pengajaran supaya anaknya lebih tabah.
Meng Wanzhou yang juga Ketua Pegawai Kewangan syarikat teknologi gergasi China itu sebelum ini ditahan pihak berkuasa Kanada, Disember lalu.
Menerusi temubual bersama portal CNBC, Ren menggunakan metafora sebuah pesawat Soviet, Ilyushin I1-2 yang digunakan pada Perang Dunia kedua musnah tetapi masih berfungsi sebagai pedoman buat anak perempuannya itu.
“Meng kini dalam keadaan yang sama, dia bakal menjadi seorang hero jika dia berjaya tempuhi ujian ini.
“Saya juga berpendapat kisah ini akan berakhir di mana dia akan mempelajari sesuatu dari penahanan ini,” jelasnya.
BACA: Kanada tahan CFO Huawei, hubungan China-AS kembali tegang?
BACA: Hubungan makin tegang, AS mulakan proses ekstradisi pegawai Huawei
Pada masa sama, Ren turut mendedahkan anak-anaknya tidak pernah berhadapan dengan keadaan sukar.
“Anak-anak saya membesar tanpa pengalaman yang pahit. Jadi, kepayahan menempuhi dugaan adalah pengajaran terbaik buat mereka.
“Dugaan penahanan ini adalah baik buat Meng bagi pendapat saya. Dia akan mempelajari dan berfikiran lebih terbuka pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu Meng ditahan atas permintaan kerajaan Amerika Syarikat (AS) susulan dakwaan beliau melanggar sekatan dagangan AS terhadap Iran.
Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan ASD7.5 juta sementara menanti permohonan rasmi ekstradisi oleh Amerika Syarikat (AS).
BACA: China 'mengamuk' CFO Huawei ditahan
BACA: CFO Huawei dibebaskan, perlu pakai pengesan elektronik di kaki
#Amerika Syarikat #ditahan #Huawei #Kanada #Ketua Pegawai Eksekutif Huawei #Ren Zhengfei #Sabrina Meng Wanzhou
;