CEO Hankook Steel Korea Selatan dihukum penjara kerana kematian pekerja

Bernama
April 26, 2023 15:30 MYT
Cawangan Mahkamah Daerah Changwon mensabitkan kesalahan ke atas CEO itu kerana gagal menyediakan langkah keselamatan yang mencukupi. - Gambar hiasan
KETUA Pegawai Eksekutif Hankook Steel & Mill Co dijatuhi hukuman penjara setahun pada Rabu, berhubung kematian seorang pekerja di kilangnya, sekali gus menjadi ketua korporat pertama yang dihukum penjara kerana kawalan keselamatan industri yang longgar, lapor Yonhap.
Cawangan Mahkamah Daerah Changwon di bandar tenggara Masan, kira-kira 300 kilometer tenggara Seoul, mensabitkan kesalahan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif itu kerana gagal menyediakan langkah keselamatan yang mencukupi berhubung kematian seorang pekerja pada Mac tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif itu ditahan di bilik mahkamah dan dibawa ke penjara selepas dijatuhkan hukuman.
Pekerja berusia 60an itu meninggal dunia di kilang syarikat itu di daerah Haman berhampiran selepas kakinya dihempap plat keluli seberat 1.2 tan.
Ia merupakan kali pertama seorang ketua korporat dipenjarakan kerana melanggar Akta Hukuman Kemalangan Serius yang membolehkan pemilik perniagaan atau CEO syarikat yang mempunyai 50 atau lebih pekerja dikenakan penjara sekurang-kurangnya satu tahun atau denda sehingga 1 bilion won (AS$747,663) sekiranya berlaku bencana yang membawa maut semasa bertugas yang disebabkan oleh langkah keselamatan yang lemah di tempat kerja.
Undang-undang itu berkuat kuasa pada Januari 2022.
-- BERNAMA
#CEO dihukum penjara #Hankook Steel & Mill Co #Korea Selatan #kematian pekerja
;