CEO Gojek sah sertai Kabinet Indonesia
Agensi
Oktober 21, 2019 16:54 MYT
Oktober 21, 2019 16:54 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GoJek , Nadiem Makarim mengakui dipanggil Presiden Indonesia Joko Widodo, untuk menjadi menteri di Kabinetnya yang akan diumum pada Rabu.
Menurut Makarim, beliau akan meletakkan jawatan di Gojek walaupun mengakui belum tahu akan diletakkan di portfolio mana kelak.
"Saya rasa gembira. Dari dahulu saya hendak mempamerkan Gojek ini di luar negara. Kini ia dibawa ke skala yang lebih besar, mengenai posisi apa akan diumum Presiden sendiri nanti," katanya kepada media Indonesia pada Isnin.
Media Indonesia memberi bayangan Makarim akan diletakkan di Kementerian Ekonomi Digital Baru atau pendidikan.
Sementara Gojek pula tidak memberi reaksi tentang siapa pengganti CEO mereka.
Jokowi secara rasmi diangkat sebagai Presiden Indonesia ketujuh selepas mengangkat sumpah bagi penggal kedua (2019 - 2024) pada Ahad.
Pemimpin berusia 58 tahun itu melafazkan sumpah di bangunan Parlimen Indonesia pada pukul 4 petang (waktu tempatan) dengan disaksikan oleh anggota Dewan Permesyuaratan Rakyat, bekas-bekas presiden serta tetamu kehormat.
Turut mengangkat sumpah pada majlis itu adalah Naib Presiden, Ma’ruf Amin yang menggantikan Jusuf Kalla.
Senarai penuh Kabinet Jokowi dijangka diumum pada Rabu.