CEO Boeing yakin tahap keselamatan model 737 MAX 8

Agensi
Mac 12, 2019 12:50 MYT
Pesawat 737 MAX yang diyakini selamat oleh CEO Boeing. -Gambar fail
SUSULAN tragedi yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines pada Ahad, timbul keraguan dalam kalangan pengguna terhadap tahap keselamatan pesawat jenis Boeing 737 Max 8 keluaran syarikat Boeing.
Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg dalam satu kenyataan pada Isnin bagaimanapun menepis tanggapan itu dan mendakwa rekaan pesawat tersebut mematuhi piawaian, lapor Reuters.
“Kami yakin dengan sistem keselamatan yang disediakan pada pesawat Boeing 737 MAX 8, ia direka khas sesuai untuk lelaki dan perempuan.
“Pesawat jenis ini melepasi piawaian penerbangan sebelum dipasarkan, dan beratus-ratus pesawat jenis MAX telah berjaya dikendalikan dengan baik dan selamat,” katanya lagi.
Peristiwa malang pada Ahad itu merupakan cabaran buat Boeing selepas tragedi sama yang berlaku ke atas pesawat Lion Air pada Oktober tahun lalu.
BACA: Nahas Ethiopian Airlines: 149 penumpang, 8 kru pesawat disahkan terkorban
BACA: Jenis pesawat nahas Ethiopian Airlines sama dengan pesawat Lion Air yang terhempas
Boeing dilapor telah memasarkan 370 pesawat jenis MAX kepada 47 pelanggan.
Susulan tragedi yang menimpa Ethipian Airlines itu, China telah menggantung operasi penerbangan bagi pesawat jenis Boeing 737 Max 8 diikuti Indonesia, Ethiopia dan beberapa negara lain.
BACA: Tiga negara gantung khidmat Boeing 737 Max 8
Walau bagaimanapun syarikat penerbangan di Amerika Utara dan Timur Tengah masih meneruskan operasi penerbangan pada Isnin susulan jaminan oleh Boeing.
Antara syarikat yang beroperasi menggunakan pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 ialah Ethiopian Airlines, Air Canada, Air China, American Airlines, China Eastern Airlines, China Southern Airlines, Flydubai, Garuda Indonesia, Jet Airways, Lion Air, SilkAir, Southwest Airline, dan Turkish Airlines.
#Air Canada #Airbus SE's A320neo #Boeing #Boeing 737 MAX 8 #Canada #CEO #China #Dennis Muilenburg #Ethiopian Airlines #Indonesia #keselamatan #Ketua Pegawai Eksekutif Boeing #Lion Air #penerbangan #pesawat #syarikat #terhempas
;