Cemas! Enjin 'meletup' ketika pesawat hampir berlepas
Astro Awani
Mac 2, 2019 19:06 MYT
Mac 2, 2019 19:06 MYT
Sejumlah 175 penumpang dan kru berdepan detik cemas apabila pesawat dinaiki terpaksa berhenti mengejut sejurus sebelum berlepas.
Dalam kejadian di Lapangan Terbang Stansted, London pada jam 8 malam waktu tempatan, saksi memberitahu terdengar bunyi letupan kuat daripada enjin disusuli percikan api ketika pesawat sedang bergerak laju di landasan.
Juruterbang jet penumpang Laudamotion itu pantas memberhentikan pesawat dan 169 penumpang dan enam kru diarah meninggalkan kapal terbang itu melalui gelongsor kecemasan.
Siasatan awal mendapati pesawat yang dalam perjalanan ke Vienna itu mengalami masalah pada satu enjinnya, lapor Daily Mail.
Saksi kejadian menggambarkan suasana panik ketika kru mengarahkan penumpang untuk mengosongkan pesawat dan melompat pada gelongsor.
"Mereka menjerit 'keluar', 'lompat' dan menolak penumpang ke gelongsor. Kami terdengar bunyi letupan dan nampak seperti satu letupan."
Penumpang terlibat kemudian diiring dari landasan ke terminal.
Lapangan terbang ditutup susulan kejadian menyebabkan ribuan penumpang lain terkandas dan hanya dibuka tiga jam kemudian.
Puluhan pesawat dialihkan ke lapangan terbang alternatif ketika landasan dikosongkan.
#175 penumpang dan kru
#berhenti mengejut
#kosongkan pesawat
#Lapangan Terbang Stansted
#Laudamotion
#melompat pada gelongsor
#pesawat
#pesawat terkandas
#sejurus sebelum berlepas