Cebisan mayat ditemui dalam serpihan kapal selam Titan

Astro Awani
Jun 29, 2023 09:45 MYT
Serpihan kapal selam Titan yang karam diangkat dan dibawa ke daratan oleh pasukan penyelamat. - Gambar REUTERS
CEBISAN mayat dipercayai ditemui dalam kapal selam Titan pada Rabu.
Menurut Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), serpihan kapal selam berkenaan, yang meletup ketika misi ekspedisi melihat bangkai Titanic, telah dibawa ke Pelabuhan St John di Kanada.
Antara serpihan yang dibawa naik merupakan rangka pendaratan dan penutup belakang kapal selam tersebut.
Pegawai perubatan AS akan memulakan siasatan ke atas cebisan mayat yang ditemui.
Pengawal Pantai AS juga telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca kapal selam itu meletup.
Serpihan kapal selam tersebut akan diperiksa dan dianalisis oleh Badan Penyiasatan Pengawal Pantai AS (MBI).
Pengerusi MBI, Kapt Jason Neubauer berkata dalam satu kenyataan berkata "masih terdapat banyak yang perlu dilakukan bagi memahami punca tragedi tersebut dan memastikan ia tidak berulang".
Kesemua penumpang Titan meninggal dunia pada 18 Jun selepas kapal selam itu meletup ketika dalam ekspedisi melihat bangkai kapal Titanic pada kedalaman 3,800 meter di bawah Laut Atlantik.
Mangsa terdiri daripada ketua OceanGate, Stockton Rush, 61, yang mengatur ekspedisi berkenaan, penjelajah British, Hamish Harding, 58, Shahzada Dawood, 48, serta anaknya, Suleman Dawood, 19, dan penyelam Perancis, Paul-Henry Nargeolet, 77.
Ketika ini, lima serpihan utama Titan telah ditemui berdekatan dengan bangkai Titanic. - Agensi
#cebisan mayat #serpihan Titan #Titanic #OceanGate
;