Cebisan anggota badan di sekolah Gaza serlah kekejaman Israel

Bernama
Ogos 12, 2024 01:15 MYT
Rakyat Palestin bersedih selepas kematian ahli keluarga mereka dalam serangan Israel ke atas sebuah sekolah di Semenanjung Gaza. - Foto AP
BAITULMAQDIS: Pengumpulan cebisan anggota badan dalam beg plastik selepas serangan jet pejuang Israel terhadap sebuah sekolah yang menjadi tempat perlindungan di Gaza menonjolkan tahap keganasan dan kekejaman melampau yang dihadapi rakyat Palestin.
Sekurang-kurangnya 100 rakyat Palestin terbunuh awal pagi Sabtu apabila tentera Israel mengebom Sekolah Al-Taba'een di kawasan kejiranan Al-Daraj di timur Bandar Gaza, lapor Agensi Anadolu.
Saksi melaporkan bahawa serangan berlaku ketika orang ramai berkumpul di halaman sekolah untuk menunaikan solat Subuh.
Wartawan, pasukan kesihatan dan pertahanan awam yang bertugas di wilayah itu berdepan kesukaran untuk menggambarkan bencana terbabit di tengah-tengah mayat yang bergelimpangan, dengan sebahagian daripadanya rentung.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan api marak selepas serangan, sementara jeritan turut kedengaran.
Serangan berlaku sejurus selepas seruan daripada negara perantara seperti Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat untuk gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza. - BERNAMA
#serangan #sekolah #Israel #Gaza