Cathay Pacific arah 27,000 kakitangan ambil cuti tanpa gaji tiga minggu

AFP
Februari 5, 2020 18:40 MYT
Kali terakhir Cathay Pacific melaksanakan cuti tanpa gaji kepada kakitangannya adalah pada 2009 ekoran krisis kewangan global. - Gambar AFP
Cathay Pacific mengarahkan 27,000 kakitangannya untuk mengambil cuti tanpa gaji secara bergilir selepas syarikat penerbangan Hong Kong itu menghadapi krisis susulan penularan wabak koronavirus, lapor AFP.
“Saya mengharapkan anda semua, bermula dari pihak atasan sehinggalah pegawai kanan, dapat menghadapi cabaran ini bersama-sama.
“Saya sedar perkara ini agak sukar untuk diterima, dan kita perlu mengambil langkah seterusnya, namun dengan sokongan skim cuti khas ini akan membantu kita ketika ini,” demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Cathay Pacific, Augustus Tang menerusi video yang dimuat naik dalam talian.
Tang turut mengesahkan bahawa cuti tidak bergaji selama tiga minggu yang diumumkan itu bermula bulan depan hingga Jun.
Setakat ini, Hong Kong mencatatkan sebanyak 18 kes positif wabak koronavirus dengan 1 kematian yang disahkan semalam.
Pada Selasa, Reuters melaporkan, syarikat penerbangan itu bercadang untuk mengurangkan kapasiti sekitar 30 peratus untuk dua bulan seterusnya.
Pengurangan itu termasuk 90 peratus penerbangan ke tanah besar China.
Kali terakhir Cathay Pacific melaksanakan cuti tanpa gaji kepada kakitangannya adalah pada 2009 ekoran krisis kewangan global.
#Cathay Pacific #coronavirus #Hong Kong #penerbangan
;