Castro angkat sumpah sebagai presiden wanita pertama Honduras

Astro Awani
Januari 27, 2022 07:45 MYT
Castro melambai kepada orang ramai selepas upacara angkat sumpah sebagai Presiden. - Foto REUTERS
TEGUCIGALPA: Xiomara Castro, 62, mengangkat sumpah sebagai Presiden wanita pertama Honduras, di sebalik krisis politik yang mengancam negara miskin itu.
Bercakap selepas upacara itu, Castro berkata, beliau mengambil alih tampuk pimpinan sebuah negara dalam keadaan tenat namun berikrar akan memulihkan situasi berkenaan.
Castro telah berjanji sebelum ini untuk menangani masalah sindiket pengedaran dadah yang menjadi masalah sosial utama negara itu.
Namun masalah dalaman partinya, Parti Libre, menjadi penghalang kepadanya.
Suaminya, Manuel Zelaya, menjadi Presiden dari tahun 2006 hingga 2009 sebelum beliau digulingkan.
Castro bertanding dua kali selepas suaminya disingkirkan, sebelum menang pada November lepas.
Kemenangannya itu mengakhiri pemerintahan selama 12 tahun Parti Nasional yang sering dikaitkan dengan skandal dan dakwaan rasuah.
Ribuan penduduk banjiri stadium nasional di ibu kota Tegucigalpa bagi menyaksikan upacara angkat sumpah Castro.
"Masalah ekonomi yang saya warisi ini paling buruk dalam sejarah negara kita.
"Kerajaan saya tidak akan benarkan rakyat menderita lagi bagi membayar hutang negara," katanya dalam ucapan pada Khamis.
Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris antara pemimpin dunia yang menghadiri upacara mengangkat sumpah itu.
#Xiomara Castro #presiden #angkat sumpah #Honduras
;