Carian Google AI Overview untuk topik tertentu dimatikan kerana terlalu banyak silap
Amanz
Mei 26, 2024 10:15 MYT
Mei 26, 2024 10:15 MYT
GOOGLE Google AI Overview di Google Search sepatutnya memberikan ringkasan untuk soalan yang ditanya oleh pengguna. Ia satu usaha Google untuk memudahkan jawapan lazim dipaparkan pada muka depan laman tanpa pengguna perlu pergi ke laman lain.
Tetapi minggu ini AI Overview mula menawarkan jawapan yang penuh kesilapan seperti mengatakan Barack Obama beragama Islam dan menyarankan gam diletakkan dalam keju piza untuk menjadikannya lebih likat.
Kerana jawapan yang diberikan tular di media sosial dan memalukan, Google telah mematikan ciri AI Overview untuk sesetengah carian yang dilakukan di dalam Search. Didapati pada pagi Sabtu, tidak semua carian yang dilakukan akan memaparkan jawapan AI Overview. Jika soalan yang memberikan jawapan tular di bawah dilakukan hari ini, ia tidak lagi muncul. Sebaliknya hanya pautan ke laman web relevan diberikan.
Dalam jawapan yang diberikan kepada The Verge, wakil Google mengatakan jawapan AI Overview sebahagian besarnya memberikan “maklumat berkualiti tinggi” kepada pengguna. Jawapan-jawapan aneh yang tular adalah untuk carian tidak lazim dan sebahagiannya dimanipulasi dengan ia tidak dapat dihasilkan semula apabila dicuba.
Antara teori yang sedang popular sekarang ialah AI Overview dilatih menggunakan data dari Reddit yang digunakan Google secara rasmi baru-baru ini dengan bayaran $60 juta. AI Overview tidak dapat membezakan jawapan berbentuk jenaka dan tidak serius di dalam Reddit dengan fakta sebenar. Oleh sebab itulah jawapan-jawapan memalukan ini muncul. Tidak diketahui sama ada ini akan mendatangkan kesan kepada persetujuan menggunakan data Reddit selepas ini.
Sumber: The Verge