CapCut juga mungkin akan diharamkan di Amerika Syarikat

Amanz
April 30, 2024 09:40 MYT
Alasan yang akan digunakan juga sama iaitu aplikasi CapCut boleh digunakan oleh China bagi mengintip pengguna dalam kalangan rakyat Amerika.
PRESIDEN Joe Biden meluluskan rang undang-undang (RUU) yang memaksa Bytedance menjual perniagaan TikTok sekiranya ingin terus beroperasi di Amerika Syarikat.
Mereka diberikan sehingga 12 bulan untuk mencari pembeli tetapi TikTok telahpun menegaskan tidak akan dijual dan akan menentang RUU yang didakwa melanggar hak kebebasan bersuara.
Pagi Isnin muncul pula laporan, selepas TikTok, Amerika turut akan melakukan perkara yang sama dengan CapCut.
Menurut laporan The Washington Post, Amerika Syarikat turut akan memerlukan CapCut dijual oleh Bytedance untuk terus beroperasi di negara mereka.
Alasan yang akan digunakan juga sama iaitu aplikasi itu boleh digunakan oleh China bagi mengintip rakyat Amerika yang menggunakannya.
Laporan ini tiba beberapa hari selepas DJI dilaporkan akan menjadi sasaran seterusnya oleh Amerika Syarikat.
Terdapat usaha yang serius dilakukan oleh Amerika untuk menghalang operasi serta perniagaan syarikat yang berasal dari China, semuanya di bawah payung “menjaga keselamatan negara”.
#Amerika Syarikat #CapCut #ByteDance #China
;