Canselor Scholz mahu Jerman tingkatkan pengusiran selepas serangan Solingen
Bernama
Ogos 26, 2024 06:45 MYT
Ogos 26, 2024 06:45 MYT
SOLINGEN: Canselor Jerman Olaf Scholz pada Isnin berkata beliau mahu meningkatkan pengusiran pendatang tanpa izin, beberapa hari selepas serangan tikam yang membawa maut di bandar barat Solingen, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pengusiran harus dipercepatkan "dengan peraturan undang-undang jika perlu", kata Scholz semasa lawatan ke Solingen.
Canselor juga menyeru "penguatkuasaan yang konsisten dan praktikal" undang-undang sedia ada, termasuk untuk pendatang yang memohon suaka di Jerman - dan bukan di negara Kesatuan Eropah pertama di mana mereka tiba - bertentangan dengan Peraturan Dublin.
"Sudah tentu masuk akal untuk menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji perkara ini," tambah Scholz.
Tiga orang terbunuh dan lapan yang lain cedera dalam serangan pada Jumaat di dataran pasar di pusat bandar Solingen.
Suspek berusia 26 tahun yang berasal dari Syria, kemudiannya direman atas perintah hakim yang menyiasat.
Lelaki itu yang disyaki ahli kumpulan Daesh, dilaporkan akan dihantar pulang ke Bulgaria selepas tiba di Jerman pada 2022, tetapi polis gagal mengesannya.
-- BERNAMA