Canselor Jerman ikrar bantu bina semula Ukraine
Bernama
Oktober 25, 2022 12:09 MYT
Oktober 25, 2022 12:09 MYT
BERLIN: Canselor Jerman Olaf Scholz pada Isnin berikrar untuk menyalurkan bantuan membina semula Ukraine termasuk bantuan untuk pertanian, kesihatan dan pemulihan rangkaian tenaga negara, lapor Xinhua.
"Bersama-sama dengan rakan kongsi, kami akan membantu Ukraine selagi mana perlu," kata Scholz pada pembukaan Forum Perniagaan Jerman-Ukraine di Berlin.
Pembinaan semula Ukraine dijangka menelan belanja AS$349 bilion, menurut analisis dikeluarkan Bank Dunia, Kesatuan Eropah (EU) dan kerajaan Ukraine pada bulan lalu.
Anggaran berkenaan bersamaan dengan satu setengah kali ganda nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Ukraine sebelum tercetusnya konflik dengan Rusia.
Dana pemulihan dan pembinaan semula adalah besar dan dijangka terus meningkat," kata Presiden Bank Dunia David Malpass awal bulan ini.
Sementara itu, Perdana Menteri Ukraine Denys Shmyhal menganggarkan kos pembinaan semula negara itu mencecah AS$750 bilion.
Scholz berjanji syarikat Jerman akan membuat pelaburan di Ukraine.
Ukraine menjadi calon untuk menganggotai Kesatuan Eropah (EU) sejak Jun dan Scholz mengulangi sokongan Jerman terhadap pencalonan negara itu.
"Saya sangat serius dengan komitmen ini dengan semua yang diperlukan," katanya.
-- BERNAMA