Campuran vaksin COVID-19: EMA enggan kemuka sebarang saranan
Astro Awani
Julai 14, 2021 06:11 MYT
Julai 14, 2021 06:11 MYT
AGENSI Kawal Selia Ubat-Ubatan Eropah (EMA) enggan mengemukakan sebarang saranan berhubung campuran suntikan vaksin COVID-19.
EMA menegaskan pada Rabu, adalah terlalu awal untuk mengesahkan pemberian vaksin dari pengeluar berbeza sebagai selamat.
Pada masa sama, EMA menasihati negara-negara untuk mempertimbangkan beberapa keadaan.
"Untuk memenuhi keperluan ini dan meningkatkan liputan vaksinasi, negara-negara boleh menyesuaikan strategi mereka... berdasarkan situasi epidemiologi dan penularan varian, dan bukti mengenai keberkesanan vaksin terhadap varian," katanya dalam satu kenyataan.
Pihak itu juga belum membuat keputusan berhubung keperluan suntikan vaksin tambahan.
Namun, ia mengakui, dua dos suntikan sama ada vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Moderna adalah diperlukan bagi melindungi dari varian Delta yang kian menular.
Ketika ini, beberapa negara mengumumkan suntikan campuran vaksin dalam usaha mengawal jangkitan COVID-19 yang semakin menular.
Kajian Oxford bulan lalu mendapati pemberian vaksin Pfizer empat minggu selepas suntikan vaksin AstraZeneca mampu meningkatkan imunisasi penerima.
Kajian ini didedahkan ketika Pusat Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menjangkakan varian Delta akan meyumbang kepada 90 peratus penularan di Kesatuan Eropah menjelang Ogos.
Varian itu yang kali pertama dikesan di India, kini menyumbang peningkatan kes jangkitan di seluruh dunia.
Ia juga melambatkan proses pemulihan ekonomi beberapa negara.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menjangkakan varian Delta akan mendominasi kes jangkitan di seluruh dunia dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
#EMA
#campuran vaksin
#vaksin
#suntikan
#ekonomi
#COVID-19
#jangkitan
#Kesatuan Eropah
#vaksin tambahan
#dos ketiga
#Varian Delta
#dua dos
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#AstraZeneca
#Moderna
#Pfizer
#India
#WHO
#Oxford
#pemulihan ekonomi
#imunisasi