Campur tangan pilihan raya: AS kenakan sekatan ke atas 19 warga Rusia

Agensi
Mac 15, 2018 07:14 MYT
Sekatan kali ini disifatkan yang paling tegas pernah dilaksanakan ke atas Moscow oleh pentadbiran Presiden Donald Trump - Foto Reuters
Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas 19 warga Rusia kerana dakwaan penglibatan mereka dalam campur tangan pilihan raya presiden 2016 menerusi serangan siber.
Mereka termasuk 13 individu yang didakwa oleh Peguam Khas Jabatan Negara, Robert Mueller bulan lalu.
Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin menuduh warga Rusia berkenaan melancarkan serangan siber dan pencerobohan yang mensasarkan untuk melumpuhkan infrastruktur kritikal.
Sekatan tegas Mnuchin akan mengelak serangan susulan oleh Rusia.
Tindakan ini disifatkan yang paling tegas pernah dilaksanakan ke atas Moscow oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Dalam reaksi segera, Kremlin menegaskan ia tidak akan berdiam diri, sebaliknya memaklumkan sedang merangka tindakan balas daripada sekatan ini.
Sekatan yang diumumkan ini secara khususnya mensasarkan lima entiti, termasuk agensi risikan tentera Rusia yang dikenali sebagai GRU.
Di bawah sekatan ini juga, Perkhidmatan Keselamatan Rusia atau FSB dan enam kakitangannya berdepan penalti kerana serangan siber.
Turut disenarai hitam Agensi Kajian Internet yang berpangkalan di St Petersburg yang didakwa bertanggungjawab mengganggu kempen dalam talian ketika pilihan raya presiden pada 2016.
Yevgeny Prigozhin yang mengendalikan agensi berkenaan dan dikenali sebagai 'Putin's chef' bersama 12 lagi kakitangan agensi itu turut disenarai hitam.
Semua 13 individu ini didakwa Februari lalu oleh Muller yang menyiasat dakwaan campur tangan Rusia untuk membantu kemenangan Trump dalam pilihan raya 2016.
#Amerika Syarikat #pilihan raya #putin #Rusia #sekatan #serangan siber #Vladimir Putin
;