Campur tangan AS di Iraq dan Syria hanyalah untuk lariskan senjata - Iran

Agensi
Februari 17, 2018 23:49 MYT
Presiden Iran Hassan Rouhani berkata campur tangan Amerika Syarikat di Iraq dan Syria adalah atas tujuan melariskan penjualan senjata.
Presiden Iran Hassan Rouhani berkata campur tangan Amerika Syarikat di Iraq dan Syria adalah atas tujuan melariskan penjualan senjata dan bukan atas tujuan keamanan.
"Kenapa mereka Amerika Syarikat menyerang Iraq? Kenapa mereka berada di Syria sekarang? Kenapa mereka menduduki sebahagian daripada Syria sekarang?.
"Dan kenapa Amerika Syarikat campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara-negara di rantau ini?.
"Ia adalah kerana perniagaan yang sangat menguntungkan, kami sedar bahawa kilang-kilang yang menghasilkan senjata memerlukan pelanggan," jelasnya dalam ucapan hubungan luar Iran di New Delhi, India pada Sabtu.
Terdahulu ketika dalam sidang media bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi, Hassan berkata negara itu akan tetap dengan syarat yang telah dimeterai pada Perjanjian Nuklear Antarabangsa 2015.
Jelasnya ia telah dipersetujui oleh lima kuasa dunia lain termasuk Amerika Syarikat dan beliau melihat tiada keperluan jika ia mahu digubal semula.
"Kami akan meneruskan komitmen kami yang terkandung dalam perjanjian terbabit dan ia adalah suatu yang tidak masuk akal jika masih ada pihak yang mahu tawar-menawar dalam perjanjian itu," jelasnya
Beliau mengulas pertanyaan berhubung cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mahu perubahan dibuat pada perjanjian terbabit.
#Amerika Syarikat #AS #Donald Trump #India #Iran #Iraq #Narendra Modi #nuklear #Syria
;