Campak kanak-kanak dari tingkat 10, remaja autistik dipenjara 15 tahun
Agensi
Jun 26, 2020 00:29 MYT
Jun 26, 2020 00:29 MYT
Seorang remaja autistik berusia 18 tahun di London dijatuhi hukuman penjara 15 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan cuba membunuh seorang kanak-kanak berusia enam tahun, pada musim panas tahun lalu.
Jonty Bravery melakukan kesalahan itu dengan cara mencampakkan kanak-kanak terbabit dari platform tinjau di tingkat 10 galeri seni Tate Modern di London.
Kanak-kanak itu, yang identitinya dirahsiakan, berada di lokasi berkenaan bersama ibu bapanya.
Seketika terlepas daripada pandangan, kanak-kanak itu dihampiri Bravery lantas tanpa diduga mencampakkannya ke bawah.
Biarpun terselamat dalam insiden mengerikan itu, mangsa mengalami pendarahan teruk di bahagian otak selain beberapa kecederaan kekal lain di bahagian tulang belakang, kaki dan tangan.
"Dia sudah boleh berjalan beberapa meter dan bermain dengan alat mainannya sambil duduk. Dia belum boleh berkomunikasi dengan lancar dan ingatan juga tidak baik.
"Doktor memberitahu yang mungkin dia perlu mengambil masa yang lama sebelum boleh makan dan minum sendiri," tulis ibu bapa kanak-kanak itu di laman GoFundMe.
Pakar psikiatri forensik yang bekerja di hospital di mana Bravery ditahan, memberitahu mahkamah dia tidak boleh membayangkan Bravery dilepaskan untuk kembali ke dalam komuniti.
Bravery yang berada di bawah tanggungjawab perkhidmatan sosial Hammersmith dan Fulham, tinggal di sebuah asrama Northolt, di bawah pengawasan seorang penjaga namun dibenarkan keluar tanpa ditemani selama empat jam.
Setahun sebelum kejadian, pengasuhnya ada membuat catatan tentang sikap agresif Bravery, malah dia juga dilaporkan mempunyai rancangan untuk membunuh seseorang, dengan cara "menolaknya dari bangunan tinggi".
Remaja itu, yang dibesarkan keluarga, ditahan di bawah Akta Kesihatan Mental ketika berusia 16 tahun sebelum diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa tempatan.