Camilla: Siapa permaisuri baharu England?
Astro Awani
September 10, 2022 10:00 MYT
September 10, 2022 10:00 MYT
APABILA suaminya menaiki takhta selepas kematian Ratu Elizabeth II, isterinya, Camilla kini merupakan Queen Consort dan akan mengambil peranan baharu yang lebih menonjol di samping Raja Charles III.
Lebih 25 tahun selepas kematian isteri pertama Charles, Princess of Wales, Diana, Camilla masih terpalit dengan kontroversi.
Sejak beliau mengahwini Charles pada 2005, Camilla bekerja keras untuk membuktikan peranannya dalam keluarga diraja, berada di sisi Charles dan memperjuangkan badan amal membantu wanita dan kanak-kanak.
Tetapi hakikatnya, masih ramai yang sukar untuk melupakan, atau memaafkan, perselingkuhan mereka yang menjadi punca kesengsaraan Diana.
Siapa Camilla?
- Dilahirkan dengan nama Camilla Shand pada Julai 1947, beliau dibesarkan di kawasan luar bandar, mencetuskan minat yang mendalam terhadap aktiviti berkuda.
- Beliau dilaporkan berkenalan dengan Putera Charles pada perlawanan polo di Windsor pada tahun 1970 dan mereka mula bersahabat. Pada tahun berikutnya Charles menyertai Tentera Laut Diraja dan, semasa ketiadaan Charles, Camilla berkahwin dengan Andrew Parker Bowles. Pasangan itu mempunyai dua orang anak.
- Charles berkahwin dengan Diana Spencer pada tahun 1981 dalam satu majlis ala kisah dongeng yang ditonton oleh jutaan orang di seluruh dunia. Tetapi pada tahun 1994, Charles mengaku menduakan Diana dengan Camilla.
- Diana mengesahkan kecurangan suaminya pada tahun berikutnya semasa wawancara bersama BBC, apabila berkata, "Ada tiga orang dalam perkahwinan ini, jadi ia agak sesak."
- Camilla bercerai dengan Andrew Parker Bowles pada tahun 1995. Charles dan Diana bercerai pada tahun berikutnya dan bermulalah sokongan orang ramai dan media terhadap Diana. Sentimen anti-Camilla dan pro-Diana, bertambah apabila Diana maut dalam kemalangan kereta di Paris pada 1997.
- Pada tahun 1999, Clarence House memulakan program untuk memperkenalkan semula Camilla kepada orang ramai dengan penampilan pertama yang diatur dengan teliti bersama Charles di London. Camilla berpindah ke Clarence House untuk bersama Charles dan namanya mula muncul dalam tugasan rasmi.
- Enam tahun kemudian, kisah cinta mereka selama berdekad tiba ke kemuncaknya apabila mereka berkahwin di Windsor, dengan persetujuan Ratu Elizabeth II. Sejak itu, beliau memegang gelaran Duchess of Cornwall.
- Camilla mempunyai peranan dirajanya sendiri, memperjuangkan perkara yang dekat di hatinya seperti pendidikan kanak-kanak dan menyokong mangsa keganasan rumah tangga.
- Beliau juga telah berusaha untuk meningkatkan kesedaran tentang osteoporosis, penyakit yang dihidapi ibu dan neneknya.
- Saat suaminya menjadi raja, Camilla secara automatik akan menjadi permaisuri. Walau bagaimanapun, Clarence House telah mengeluarkan kenyataan pada tahun 2005 bahawa Camilla sebaliknya akan dikenali sebagai Princess Consort. Beberapa individu istana ketika itu merasakan orang ramai tidak bersedia untuk Camilla mengambil gelaran yang pada awalnya untuk Diana.
- Bertahun berlalu, sentimen orang ramai terhadap Camilla mula berubah. Pada 2015, tinjauan CNN mendapati bahawa satu daripada empat warga Britain semakin menyukainya dan semakin sedikit yang menentangnya untuk menjadi permaisuri.
- Pada Februari 2022, pada Jubli Platinumnya, Ratu memberi restunya kepada Duchess of Cornwall untuk dikenali sebagai permaisuri apabila tiba masanya.