Camilla Shand: Apa yang perlu anda tahu mengenai bakal Permaisuri Britain?
Astro Awani
Mei 4, 2023 06:00 MYT
Mei 4, 2023 06:00 MYT
DENGAN pertabalan Raja Charles III menaiki takhta, Camilla bakal menjadi Permaisuri Britain yang baharu sekaligus mengambil peranan baharu di sisi Raja Charles III.
Pemilik nama penuh Camilla Shand yang dilahirkan pada Julai 1947 ini dilihat terus setia berada di sisi Raja Charles termasuk ketika kemangkatan mendiang Ratu Elizabeth II pada September 2022.
Camilla juga merupakan sosok wanita pertama dicintai Raja Charles III serta seorang sahabat bakal menjadi Permaisuri ke-29 di istiadat pertabalan di Westminster Abbey pada 6 Mei ini.
BERIKUT 7 FAKTA MENARIK MENGENAI CAMILLA SHAND
HUBUNGAN AWAL DENGAN CHARLES
Camilla dan Raja Charles III mengenali antara satu sama lain sejak remaja, tetapi kemudian telah berpisah ketika Raja Charles menyertai Tentera Laut Diraja pada tahun 1971. Mereka kemudian berjumpa semula pada tahun 1972 dan mula rapat.
Camilla dan bekas suami, Parker Bowles bercerai pada tahun 1995. Manakala Raja Charles dan Puteri Diana bercerai pada tahun berikutnya dan Camilla hampir hilang dari kehidupan awam kerana sokongan awam dan media beralih ke Puteri Diana.
Sentimen pro-Diana, anti-Camilla menjadi lebih kuat atas sifat simpati untuk Diana setelah dia terbunuh dalam kemalangan kereta di Paris pada tahun 1997.
SIFAT YANG DISUKAI
Camilla dikenali dengan sifatnya yang peramah, mudah mesra dan suka membantu orang lain. Beliau juga dikenali sebagai penunggang kuda yang cekap dan sering mengambil bahagian dalam pertandingan berkuda.
PERNIKAHAN PERTAMA
Camilla pernah berkahwin dengan Andrew Parker Bowles pada tahun 1973 dan pasangan itu mempunyai dua orang anak. Walaupun begitu, hubungan rapatnya dengan Raja Charles masih berterusan dan menjadi perhatian media.
TUDUHAN TERKAIT DALAM ISU RUMAH TANGGA RAJA CHARLES
Nama Camilla terlibat dalam kontroversi apabila dikaitkan terlibat dalam krisis perkahwinan antara Charles dan Diana.
Diana sendiri pernah mendedahkan mengenai hubungan Camilla dengan suaminya dalam temu bual bersama BBC pada 1995 dengan menyifatkan terdapat tiga orang dalam rumah tangganya.
PERKAHWINAN KEDUA
Camilla dan Charles akhirnya berkahwin pada 9 April 2005 dalam sebuah majlis yang terhad di Windsor. Pasangan itu berkahwin di hadapan 800 tetamu dan dihadiri oleh para tetamu kerajaan termasuk Ratu Elizabeth II.
TUGAS KERAJAAN
Sebagai isteri Putera Wales, Camilla telah terlibat dalam banyak projek amal dan tugas rasmi, termasuk menganjurkan lawatan ke luar negara dan memberi sokongan kepada organisasi amal yang berbeza.
KEHIDUPAN PERIBADI
Camilla menghabiskan masa lapang dengan membaca, berkuda dan gemar menjalani aktiviti luar. Beliau juga gemar berkunjung ke ladang tanaman organik dan mengambil bahagian dalam acara sosial yang menyokong sektor kesihatan mental dan kebajikan haiwan.
Camilla juga mentakrifkan peranan diraja dengan memperjuangkan isu yang dekat di hatinya seperti membantu celik huruf kanak-kanak dan menunjukkan sokongan moral terhadap mangsa keganasan rumah tangga.