Cameroon tubuh pusat latihan vokasional untuk bekas pejuang Boko Haram

Bernama
Ogos 28, 2018 12:48 MYT
Menurut Atanga Nji, layanan baik yang diberikan kepada bekas pejuang adalah bukti peranan kemanusiaan yang dimainkan tentera Cameroon dalam menguruskan mangsa dan musuh perang. - Gambar fail
Cameroon akan menubuhkan sebuah pusat latihan vokasional di rantau Utara Jauh negara itu bagi memulihkan bekas pejuang kumpulan Boko Haram, kata Menteri Pentadbiran Wilayah Paul Atanga Nji.
Beliau membuat pengumuman itu di pangkalan pasukan petugas multinasional di Mora yang terletak dalam rantau Utara Jauh, Cameroon ketika bertemu kira-kira 100 bekas pejuang Boko Haram.
Pusat latihan itu akan menyediakan mereka ke arah cara hidup yang lebih baik, katanya.
Presiden Paul Biya telah menyediakan kemudahan itu kepada generasi muda bagi membolehkan mereka ke pusat latihan itu untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat.
Sesetengahnya berminat dalam bidang pertanian, pertukangan dan mekanik. Jadi semua orang boleh mempelajari kemahiran dan menjadi lebih bertanggungjawab, kata Atanga Nji.
Menurut menteri itu, layanan baik yang diberikan kepada bekas pejuang adalah bukti peranan kemanusiaan yang dimainkan oleh tentera Cameroon dalam menguruskan mangsa dan musuh perang.
"Adalah jelas hari ini bahawa pasukan pertahanan dan keselamatan di Cameroon amat profesional, malah ketika mereka berpeluang menggunakan senjata, mereka tidak melakukannya kerana Presiden Paul Biya telah memberi arahan bahawa melindungi nyawa manusia lebih penting berbanding penindasan," kata Atanga Nji.
-- BERNAMA-NNN-AGENCIES
#bekas pejuang #Boko Haram #Cameroon #generasi muda #kemanusiaan #mangsa #musuh #Paul Atanga Nji #Paul Biya #perang #pusat latihan #tentera #vokasional
;