Camden Market, pusat pelancongan popular di London terbakar
Bernama
Julai 10, 2017 12:09 MYT
Julai 10, 2017 12:09 MYT
Pusat tumpuan pelancongan di London, Camden Market mengalami kebakaran awal pagi Isnin, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut laman Twitter pasukan bomba dan penyelamat tempatan, usaha memadam kebakaran kini sedang dijalankan melibatkan 70 anggota bomba dan penyelamat dan dibantu 10 jentera.
Api marak membakar tingkat satu hingga bumbung bangunan itu.
Sementara itu, jurucakap polis berkata masih terlalu awal untuk pihaknya mengesahkan sekiranya ada mangsa yang cedera.
Lokasi pelancongan popular itu mempunyai lebih 1,000 lot kedai, gerai dan tempat hiburan terbuka.
Kebakaran besar pernah berlaku di lokasi itu pada Februari 2008.
Kebakaran di Camden Market berlaku hanya beberapa minggu selepas insiden kebakaran bangunan pangsapuri kediaman 27 tingkat di London 14 Jun lalu.
Laporan menyebut penggunaan bahan yang mudah terbakar ketika proses pengubahsuaian bangunan menyebabkan api marak dengan cepat dalam kebakaran pangsapuri yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 80 mangsa itu.
-- BERNAMA