Cambridge Analytica: Facebook mungkin didenda lebih RM2.6 juta

Agensi
Julai 11, 2018 09:33 MYT
Facebook berdepan tindakan undang-undang akibat pelanggaran privasi pengguna. - REUTERS
PIHAK berkuasa United Kingdom mengenakan denda maksimum terhadap Facebook atas pelanggaran undang-undang perlindungan data dalam skandal membabitkan Cambridge Analytica.
Pesuruhjaya Maklumat Britain, Elizabeth Denham dalam kenyataannya memberitahu Facebook akan didenda £500,000 atau RM2.6 juta akibat pencerobohan data peribadi 87 juta pengguna laman media sosial itu.
Katanya, Facebook telah melanggar undang-undang selepas gagal melindungi data penggunanya serta tidak telus mengenai bagaimana data tersebut boleh dituai melalui platformnya.
"Penggunaan teknologi baharu yang menggunakan analisis data bagi mensasarkan pengguna kepada pengundi tidak telus, adil dan mematuhi perundangan sedia ada," katanya menerusi satu kenyataan.
Bagi Facebook, keputusan itu akan diteliti semula dan akan melakukan tindakan dalam masa terdekat.
"Seperti yang telah dimaklumkan, kami akan melakukan siasatan lanjut ke atas dakwaan berkaitan Cambridge Analytica," kata Erin Egan, Ketua Pegawai Privasi Facebook menerusi kenyataannya.
Sebelum ini pembuat dasar British telah melakukan inkuiri terhadap laporan berita palsu yang memberi kesan kepada kempen pilihan raya yang memberi fokus kepada Cambridge Analytica.
Terdahulu, Cambridge Analytica pernah membantu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sewaktu kempen pilihan raya presiden pada 2016.
Dari 87 juta data pengguna FB digunakan firma berkenaan, 1.1 juta daripadanya adalah pengguna di UK.
BACA: Firma dikait kontroversi Facebook, Cambridge Analytica 'gulung tikar'
BACA: Ahli akademik mohon maaf bantu perlombongan data Facebook
#2016 #Amerika Syarikat #Britain #Cambridge Analytica #Dasar Privasi Facebook #Donald Trump #Facebook #pilihan raya #presiden #siasatan #undang-undang
;