Calon reformis diumum pemenang pilihan raya presiden Iran

Astro Awani
Jun 15, 2013 07:00 MYT
Calon reformis Hasan Rowhani diumum sebagai pemenang pilihan raya presiden Iran awal hari ini.
Menurut Kementerian Dalam Negeri , Rowhani , seorang bekas perunding nuklear muncul pemenang dengan memperolehi 50.7 peratus undi daripada lebih 36 juta undi yang dikira.
Rowhani menggantikan Mahmoud Ahmadinejad yang menamatkan pemerintahan dua penggalnya sebagai presiden Iran.
Beliau yang mempunyai hubungan baik dengan masyarakat antarabangsa menewaskan lima calon lain yang semuanya berfahaman konsevatif.
Rowhani dalam kempennya antara lain menyuarakan perlunya kebebasan media yang lebih meluas serta hubungan yang lebih erat dengan negara-negara barat.
Menurut pemerhati politik, pendirian berkenaan membuatkan beliau mendapatkan sokongan besar rakyat Iran.
Seorang lagi calon, Datuk Bandar Tehran, Mohammad Baqer Qalibaf berada di kedudukan kedua dengan 16.5 peratus diikuti dengan perunding nuklear, Saeed Jalili yang mengumpul 11.4 peratus undi.
Seorang lagi calon konservatif Mohsen Rezai berjaya mengumpul undian sebanyak 10.6 peratus.
Terdapat lebih 50 juta pengundi berdaftar di Iran dengan bilangan mereka yang keluar mengundi direkodkan hampir 73.7 peratus.
#Hassan Rowhani #Iran #pilihan raya presiden
;