Calon PM UK: Boris Johnson enggan sokong mana-mana pihak
Astro Awani
Julai 11, 2022 07:30 MYT
Julai 11, 2022 07:30 MYT
LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson enggan menyokong mana-mana calon yang bertanding untuk menggantikannya.
Jelasnya ini kerana beliau tidak mahu merosakkan peluang kesemua calon.
"Saya tidak mahu bercakap lebih lanjut mengenai semua itu. Terdapat pertandingan sedang dijalankan dan ia mesti berlaku. Saya tidak mahu merosakkan peluang sesiapa dengan menawarkan sokongan saya.
"Saya hanya perlu meneruskan dan dalam beberapa hari atau minggu terakhir, tugas fungsi perlembagaan Perdana Menteri dalam situasi ini adalah untuk menunaikan mandat untuk terus menunaikan mandat dan itulah yang saya lakukan," katanya.
Setakat ini seramai 11 calon umum untuk bertanding merebut jawatan Perdana Menteri Britain.
Johnson yang berusia 58 tahun digesa untuk meletak jawatan selepas beberapa siri skandal yang melanda pentadbirannya.
Tambah Johnson, dalam minggu-minggu terakhirnya di Downing Street, beliau akan melihat kepada perkembangan masa depan serta pelaburan dalam sains dan teknologi.
Johnson berkata demikian dalam penampilan pertamanya sejak minggu lalu susulan pengumumannya untuk meletak jawatan.