Calon PM Thailand selamat lahirkan anak, sekarang mahu kembali ke pentas kempen

Agensi
Mei 3, 2023 17:19 MYT
Paetongtarn Shinawatra yang baru melahirkan seorang bayi lelaki pada Isnin lalu, yakin bahawa perjuangannya bakal mendapat kemenangan besar. - Reuters
BANGKOK: Salah seorang daripada calon utama bagi merebut jawatan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, pada Rabu memberitahu bahawa beliau sedia untuk meneruskan kempen politiknya minggu depan.
Paetongtarn, 36, yang baru sahaja melahirkan seorang bayi lelaki pada Isnin lalu, kekal yakin bahawa perjuangannya bakal mendapat kemenangan besar, lapor Reuters.
Beliau, antara calon yang popular menjelang pilihan raya pada 14 Mei depan, membuat kemunculan pertama dalam tempoh sebulan untuk mendedahkan wajah anaknya itu, Prutthasin.
Anak saudara kepada Yingluck Shinawatra itu mewakili Parti Her Pheu Thai yang kini mendahului dalam undian-undian semasa. Beliau pernah mencatatkan kemenangan dalam setiap pilihan raya sejak tahun 2001, termasuk dua kemenangan besar.
“Thailand perlukan perubahan dan Parti Pheu Thai adalah satu-satunya jawapannya.
“Kita tidak boleh menunggu lagi. Jika Pheu Thai menang besar dan berjaya membentuk kerajaan, kita boleh lakukan perubahan dengan segera,” ujarnya dalam satu sidang media di sebuah hospital di Bangkok.
Bagaimanapun, kebanyakan penganalisis menjangkakan Pheu Thai tidak akan dapat meraih kemenangan mutlak dan memerlukan gabungan pakatan. Pada 2019, hal yang sama telah terjadi dan parti itu gagal membentuk pakatan yang kukuh.
Pemerhati politik meyifatkan sebuah lagi parti pembangkang, Move Forward, sebagai rakan pakatan yang ideal buat Pheu Thai.
Ditanyakan berkenaan kemungkinan itu, Paetongtarn berkata Pheu Thai tidak ada masalah untuk bergabung dengan parti yang sama-sama menyokong dasar mereka.
#Paetongtarn Shinawatra #pilihan raya thailand #calon PM thailand #kempen politik
;