Calon pilihan raya maut, kereta dibom
Astro Awani
Julai 22, 2018 19:23 MYT
Julai 22, 2018 19:23 MYT
SERANGAN bunuh diri di Pakistan semakin menjadi-jadi semenjak negara itu di ambang pilihan raya umum.
Dalam serangan terbaharu hari ini, seorang calon dari parti pimpinan bekas bintang kriket negara itu Imran Khan terbunuh.
Serangan di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa menyasarkan kenderaan yang dinaiki Ikramullah Gandapur, calon parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), atau Pergerakan Keadilan Pakistan yang dalam perjalanan menghadiri perhimpunan politik di bandar Dera Ismail Khan.
Polis turut mengesahkan empat orang cedera dalam serangan berkenaan.
Imej rakaman video dari lokasi serangan menunjukkan tiga mangsa berlumuran darah dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan SUV berwarna hitam.
Pada 2013, abang Ikramullah Gandapur yang ketika itu memegang jawatan menteri undang-undang wilayah turut maut dalam serangan bunuh diri di rumahnya.
Bulan ini sahaja, sekurang-kurangnya 149 orang dilaporkan maut dalam serangan bunuh diri di Pakistan yang bakal mengadakan pilihan raya umum Rabu ini.
#bunuh
#bunuh diri
#calon
#kereta
#maut
#Pakistan
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#politik
#serangan