Calon bermasalah, pengumuman kabinet Jokowi ditangguh lagi

Astro Awani
Oktober 22, 2014 17:37 MYT
Jokowi dilihat amat teliti dalam pemilihan calon bagi mengisi 33 kementerian di republik tersebut. - Gambar fail
Ketika banyak pihak hari ini menanti pengumuman barisan kabinet di bawah pentadbiran Presiden Indonesia yang baharu, Joko Widodo, pemimpin nombor satu republik itu dilaporkan terpaksa menunda pengumumannya.
Dalam perkembangan terkini yang disampaikan kepada sidang media di Istana Merdeka, Jalan Medan Merdeka Utara, Jakarta Pusat, pemimpin nombor satu Indonesia yang mesra disapa sebagai Jokowi mendedahkan terdapat lapan calon menteri yang disifatkan sebagai ‘bermasalah’, lapor portal berita Kompas.
Jokowi mengulas perkara tersebut berdasarkan penerimaan nama-nama calon menteri semalam setelah diteliti pihak Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) dan Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK).
“Sekarang saya sedang mencari gantinya,” ujar Jokowi.
Jokowi mengatakan, pengganti bagi lapan calon menteri yang bermasalah tersebut didapatkan dari senarai nama yang sudah melalui proses saringan. Bagaimanapun, Jokowi tidak dapat menjelaskan lebih lanjut tentang hal tersebut.
Beliau juga tidak mendedahkan nama ataupun kes khusus yang menyebabkan lapan calon tersebut tidak melepasi saringan berkenaan.
Terpaksa menangguhkan pengumuman barisan kabinetnya, Jokowi juga belum pasti tentang tarikh yang tepat untuk mengesahkan senarai akhir sebelum didedahkan secara umum.
Dalam memastikan setiap nama yang bakal mengisi jawatan dalam barisan kabinetnya, Jokowi telah menyerahkan nama 43 calon menteri ke KPK dan PPATK.
Jokowi dijangka mengumumkan senarai akhir calon-calon bagi 33 kementerian Isnin lepas, namun hingga ke hari ini, perkara tersebut terpaksa ditangguh lagi.
Dalam perkembangan terkini, seperti yang dilaporkan portal berita The Jakarta Globe pada jam 7.50 malam waktu tempatan, Jokowi dikhabarkan membatalkan pengumuman kabinetnya malam ini di Dermaga 303 Pos Bitung, Tanjung Priok, Jakarta.
Dengan pemberitahuan tersebut, para wartawan yang sejak petang menunggu perkembangan perkara itu juga diminta meninggalkan lokasi.
#batal #calon #Jokowi #kabinet #pengumuman #Rasuah
;