California terus berada di kedudukan teratas dalam kadar pengangguran di AS

Bernama
Mei 18, 2024 20:30 MYT
California terus menerajui Amerika Syarikat (AS) dalam jumlah kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini. - Gambar hiasan/Unsplash
SACRAMENTO (Amerika Syarikat): California terus menerajui Amerika Syarikat (AS) dalam jumlah kehilangan pekerjaan sejak awal tahun ini, lapor Xinhua, memetik laporan Jabatan Pembangunan Pekerjaan California pada Jumaat.
Kadar pengangguran di California, yang mempunyai kira-kira 40 juta penduduk, kekal tidak berubah pada 5.3 peratus pada April untuk tiga bulan berturut-turut, mengekalkan kadar tertinggi di negara itu.
Laporan itu menunjukkan bahawa bilangan penduduk California yang menganggur adalah 1,027,000 pada bulan April - turun sebanyak 5,900 dari bulan sebelumnya dan meningkat 164,700 dari tahun ke tahun.
Ini merupakan kali kedua dalam tempoh lima bulan jumlah penganggur berkurangan. Ia berlaku di tengah-tengah pertumbuhan pekerjaan yang lembap, dengan majikan di seluruh negara menambah hanya 5,200 pekerjaan bukan perladangan pada April, penurunan ketara daripada 18,200 pekerjaan yang ditambah pada Mac.
Menurut laporan itu, landskap pekerjaan di California amat suram di beberapa sektor utama. Sektor pembuatan, maklumat serta perkhidmatan profesional dan perniagaan semuanya mengalami kehilangan pekerjaan dalam bulan lepas, menyumbang kepada pasaran kerja yang kurang mantap.
Sementara itu, lima daripada 11 sektor industri di California mencatatkan penambahan pekerjaan pada bulan April, dengan sektor pendidikan swasta dan perkhidmatan kesihatan mencatatkan peningkatan terbesar bulan ke bulan untuk empat bulan berturut-turut.
--BERNAMA-XINHUA
TAG: AS, California, pengangguran
#California #pengangguran #Amerika Syarikat #pekerjaan
;