CAIR desak Trump mohon maaf kepada wanita Islam yang diusir keluar
Kohilah Sekaran
Januari 10, 2016 16:27 MYT
Januari 10, 2016 16:27 MYT
Calon presiden Republikan, Donald Trump, didesak memohon maaf selepas seorang wanita Islam yang berdiri sebagai bantahan diejek dan diiring keluar daripada satu majlis.
Majlis Perhubungan Amerika-Islam (CAIR) meminta Trump untuk memohon maaf kepada Rosa Hamid yang dihalau keluar daripada perhimpunannya di Universiti Winthrop di Rock Hill, Carolina Selatan.
Memetik laporan The Hill, CAIR mengeluarkan kenyataan tersebut selepas beberapa jam Rosa dilayan sebegitu dan mula mendapat perhatian dunia.
“Imej seorang wanita Islam didera dan diusir dari perhimpunan politik menghantar mesej yang buruk kepada semua umat Islam Amerika serta kepada semua yang menghargai tradisi negara kita yang terdiri dari pelbagai agama,” kata Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad.
"Donald Trump perlu memohon maaf secara terbuka kepada wanita Islam yang dihalau keluar dari perhimpunan itu serta membuat kenyataan yang jelas bahawa semua umat Islam di Amerika dialu-alukan sebagai masyarakat.”
Semalam, Rosa Hamid diiring keluar anggota polis dari perhimpunan kempen Donald Trump di Rock Hill.
Menurut CNN, Rose hadir ke perhimpunan berkenaan untuk menunjukkan kepada para penyokong Trump rupa seorang Muslim yang sebenar.