'Cahaya Ramadan' di Piccadilly Circus London

Agensi
Mac 23, 2023 22:00 MYT
Buat pertama kalinya, Piccadilly Circus di London, United Kingdom diterangi dengan lampu hiasan menandakan ketibaan bulan Ramadan. - Foto ihsan ZAHARAH OTHMAN
LONDON: Buat pertama kalinya, Piccadilly Circus di London, United Kingdom diterangi dengan lampu hiasan menandakan ketibaan bulan Ramadan.
Lampu-lampu dinyalakan di Coventry Street (antara Piccadilly Circus dan Leicester Square) bagi memeriahkan sambutan Ramadan sehingga 21 April depan.
Sekitar 30,000 lampu digunakan bagi membentuk 61 hiasan bulan, dengan lampu LED yang lebih cekap tenaga turut digunakan.
Hiasan itu dibawa oleh Ramadan Lights UK, sebuah organisasi tanpa untung yang bertujuan untuk menyebarkan kesedaran mengenai bulan Ramadan.
"Konsep yang disusun dengan teliti ini menggambarkan fasa-fasa dalam bulan Ramadan, membawa cahaya Ramadan ke sepanjang jalan di London," kata Ramadan Lights UK dalam catatan Instagram.
Inisiatif yang diketuai oleh pengasas Aisha Desai, bermula tiga tahun lalu.
Datuk Bandar London, Sadiq Khan berkata, menjadi satu penghormatan baginya "menghidupkan lampu-lampu ini".
"London kini adalah bandar utama pertama di Eropah yang mempertontonkan perhiasan lampu sebagai sambutan Ramadan. Ia adalah simbol sebenar bagaimana London meraikan kepelbagaian penduduknya," katanya di Twitter.
#Puasa 2023 #buka puasa #Ramadan 1444H #Piccadilly Circus London
;