Cacing pita 'tinggal' sedekad dalam otak

Afiezy Azaman
Februari 4, 2020 11:16 MYT
Seorang lelaki di Texas telah didiagnos mempunyai cacing pita yang hidup di dalam otaknya dan ia kes yang dikategorikan sebagai jarang berlaku. Gambar AP
Seorang lelaki di Texas telah didiagnos mempunyai cacing pita yang hidup di dalam otaknya dan ia kes yang dikategorikan sebagai jarang berlaku.
Bagaimanapun, para doktor telah berjaya mengeluarkan cacing pita itu daripada otak pesakit selepas melakukan pembedahan yang kompleks.
Menurut Pakar Bedah Saraf di Austin, Dr. Jordan Amadio, kes tersebut disifatkan sebagai jarang berlaku dan amat luar biasa kerana cacing sepanjang 4 hingga lima sentimeter itu dikatakan telah berada di dalam otak lelaki itu selama sedekad.
“Lelaki berkenaan mengalami simptom sakit kepala, muntah dan pengsan semasa bermain bola sepak tahun lalu sebelum menjalankan ujian MRI yang mengesahkan jangkitan cacing pita di dalam otak.
“Selepas pembedahan yang kompleks dijalankan, pesakit itu tidak lagi mengalami sakit kepala dan kembali bekerja serta berada dalam keadaan normal,” katanya memetik laporan Associated Press, pada Selasa.
BACA: Dijangkiti penyakit, wanita keluarkan 14 cacing dari mata kirinya
BACA: Cacing pita sepanjang 2.8 meter dijumpai dalam usus manusia
Mengulas lanjut, Jordan berkata pesakit itu bagaimanapun tidak pasti bagaimana dan bila dia dijangkiti cacing pita namun menyatakan kemungkinan berlaku apabila memakan daging babi di Mexico.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), istilah rasmi untuk jangkitan cacing pita adalah ‘taeniasis’.
“Manusia boleh dijangkiti dengan cacing pita dengan memakan daging lembu atau babi secara mentah atau separuh masak.
“Pesakit yang dijangkiti tidak mengetahui terdapat cacing pita di dalam badan mereka kerana simptom yang ditunjukkan adalah ringan atau tiada sekaligus,” jelas badan kesihatan itu.
Bagaimanapun, CDC berkata sesetengah individu yang dijangkiti tidak memerlukan rawatan kerana kadang-kala cacing pita itu keluar daripada badan pesakit dengan sendiri.
#cacing pita #daging babi #Dr Jordan Amadio #muntah #otak #Pembedahan #pengsan #Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit #sakit kepala #taeniasis #Texas
;