Cacing pita sepanjang 2.8 meter dijumpai dalam usus manusia

Astro Awani
Januari 29, 2018 14:27 MYT
Menurut Jabatan Mikrobiologi di Hospital Besar Singapura, cacing pita tersebut perlu dilipat sebanyak 18 kali untuk dimuatkan dalam satu gambar. - SINGAPORE GENERAL HOSPITAL'S DEPARTMENT OF MICROBIOLOGY
SEORANG pesakit di Singapura mengalami kejutan seumur hidup apabila diberitahu oleh pihak hospital bahawa di dalam ususnya terdapat seekor cacing pita sepanjang 2.8 meter.
Menurut Jabatan Mikrobiologi di Hospital Besar Singapura, cacing pita tersebut perlu dilipat sebanyak 18 kali untuk dimuatkan dalam satu gambar.
Ironinya, pesakit tersebut memberitahu bahawa dia tidak mendapat sebarang tanda bahawa parasit itu sedang membesar di dalam tubuh badannya.
“Pesakit itu agak terkejut apabila cacing itu dikeluarkan melalui rektum,” jelas pakar penyakit berjangkit Profesor Hsu Li Yang.
Pada 2016, Profesor Hsu pernah berkongsi dengan The Sunday Times berkaitan punca jangkitan parasit itu adalah akibat makan makanan yang tidak masak atau separuh masak.
Dalam laporan The Washington Post awal bulan ini, terdapat seorang lelaki berusia 30 tahun hampir setiap hari makan ikan mentah sehinggakan didapati cacing pita sedang membesar di bahagian belakang tubuhnya dengan panjang 1.6 meter.
Lelaki itu telah mengalami kekejangan perut serta cirit-birit berdarah selepas makan sashimi. Dalam kes berkenaan, cacing pita itu telah keluar dari bahagian duburnya dan ternyata masih hidup dan bergerak.
Profesor Hsu turut menjelaskan parasit sepanjang 2.8 meter itu dikenal pasti sebagai cacing pita kerana tiada parasit lain yang boleh membesar sepanjang itu dalam sistem tubuh manusia.
“Persoalannya ialah cacing pita jenis apa, kerana itu akan membantu mengetahui punca jangkitan tersebut,” jelas Profesor Hsu.
Cacing pita dewasa memiliki kepala, leher dan rantaian segmen yang dikenali sebagai proglottid. Semasa jangkitan usus berlaku, kepala cacing pita tersebut akan melekat pada dinding usus dan proglottid itu menghasilkan telur.
Kebanyakan mereka yang terkena jangkitan seperti ini akibat makan daging babi, daging lembu atau ikan dalam keadaan separuh masak.
Prof Hsu jangkakan jangkitan cacing pita telah meningkat selama bertahun-tahun di Singapura dan begitu juga di negara-negara maju yang lain di mana penggunaan ikan mentah meningkat.
Walau bagaimanapun, tiada data direkodkan untuk kenal pasti peningkatan statistik tersebut.
#Cacing pita 2 8 meter #ikan mentah #negara maju #Profesor Hsu Li Yang #proglottids #Singapura #The Washington Post
;