Cacing parasit hidup ditemui dalam otak wanita

Irdina Ishak
Ogos 29, 2023 16:24 MYT
Pakar di sebuah hospital di Canberra, Australia berjaya mengeluarkan cacing hidup sepanjang lapan sentimeter dari otak seorang wanita berusia 64 tahun, baru-baru ini. - fotoREUTERS
Pelik tapi benar!
Sekumpulan doktor di Sydney, Australia telah berjaya membedah seorang wanita, 64, dan mengeluarkan cacing parasit hidup sepanjang lapan sentimeter dari otak pesakit berkenaan.
Menurut Profesor Madya Dr Sanjaya Senanayake, seorang pakar penyakit berjangkit terkemuka dari Australian National University (ANU) dan Hospital Canberra, penemuan ini disifatkan sebagai kes pertama di dunia.
Sebelum ini, pesakit itu dilaporkan mengalami beberapa simptom seperti sakit perut, batuk, dan berpeluh pada waktu malam. Wanita itu juga mula mengalami kemurungan dan mudah lupa sebelum dimasukkan ke sebuah hospital di sini.
Parasit merah itu, yang dikenali sebagai cacing gelang Ophidascaris, ditemui ketika prosedur pembedahan otak dan berkemungkinan telah ''berumah' di dalam otak wanita iru selama dua bulan.
Pesakit itu dimasukkan ke hospital pada akhir Januari 2021. Selepas melakukan proses pengimbasan, doktor mendapati kesan luka di bahagian hadapan otaknya.
Keadaan pesakit itu hanya diketahui selepas satu prosedur biopsi dijalankan ke atasnya pada Jun 2022.
Pesakit itu dilaporkan semakin pulih.
Menurut pakar parasit, Mehrab Hossain, dalam sebuah jurnal berjudul, Emerging Infectious Disease, wanita itu berkemungkinan menjadi ''hos secara tidak sengaja" selepas menggunakan tumbuh-tumbuhan yang mungkin telah tercemar dengan najis ular senduk dan telur parasit - dalam masakannya.
Kes ini memberi amaran tentang peningkatan penyakit berjangkit daripada haiwan kepada manusia.
#penyakit berjangkit #cacing hidup #cacing gelang Ophidascaris #Kes Pertama
;