Cacar monyet: AS isytihar kecemasan kesihatan awam

Astro Awani
Ogos 5, 2022 00:10 MYT
AS mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam susulan jumlah jangkitan yang melangkau 6,000 kes pada Rabu. -Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Amerika Syarikat (AS), Xavier Becerra berkata, negara itu kini mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam.
Ia susulan jumlah jangkitan di AS yang sudah melangkau 6,000 kes pada Rabu.
Langkah itu juga bagi membenarkan pembiayaan dan alat tambahan dikeluarkan untuk memerangi penyakit itu.
Hampir semua kes adalah dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.
Becerra berkata, mereka bersedia mengambil langkah ke peringkat seterusnya dalam menangani virus berkenaan.
Pengisytiharan itu akan meningkatkan tahap ketersediaan data mengenai jangkitan cacar monyet yang diperlukan untuk tindak balas.
Cacar monyet mula merebak di Eropah sebelum berpindah ke Amerika Syarikat yang kini merekodkan kes paling banyak di dunia.
Setakat ini, kerajaan AS telah mengedarkan 600,000 dos vaksin Jynneos keluaran Bavarian Nordic dan menggunakan 14,000 rawatan TPOXX keluaran Siga Technologies.
Penyakit cacar monyet mempunyai simptom ringan termasuk demam, sakit dan lesi kulit yang dipenuhi nanah, dan orang ramai cenderung untuk pulih daripadanya dalam masa dua hingga empat minggu.
Menurut WHO, ia merebak melalui sentuhan fizikal yang rapat dan jarang membawa maut.
#cacar monyet #Xavier Becerra #kecemasan kesihatan awam #Jynneos