Cabaran sediakan 10 tan rempah untuk hasilkan empat menu demi penuhi cita rasa 31,600 jemaah
Dr Azlinariah Abdullah
Mei 16, 2024 19:53 MYT
Mei 16, 2024 19:53 MYT
MEKAH: Empat menu utama jadi kegemaran, penuhi cita rasa 31,600 jemaah haji Malaysia.
Menu itu - masak lemak, masak kicap, kari ikan dan kari daging, digilirkan setiap empat hari serta nasi beriani pada hari Jumaat, disediakan katering Tabung Haji (TH) di Arab Saudi bagi operasi musim haji tahun ini.
Pengarah Operasi Katering TH, Rashidi Razali@Ghazali berkata, untuk menyediakan menu-menu kegemaran jemaah itu, sebanyak 10 tan rempah-ratus pracampur dihantar ke Mekah menggunakan jalan laut bagi kegunaan pasukan penyedia makanan menyediakan makanan untuk jemaah haji Malaysia.
"Rempah berkenaan sudah dimasukkan ke dalam pek seberat 5 kilogram setiap satu, dan dimasukkan ke dalam kotak khas sebelum dihantar ke pelabuhan menggunakan kontena untuk dihantar ke destinasi," katanya yang turut memaklumkan bahawa pihaknya perlu menyediakan rempah ratus ini lebih awal kerana perjalanan menggunakan pengangkutan air mengambil masa lebih lama selain mengambil kira faktor keselamatan.
Menurut Rashidi, kesemua rempah-ratus yang digunakan adalah dalam bentuk serbuk.
"Kami ada formula khas untuk menyediakan masakan-masakan itu. Di pihak tukang masak, mereka hanya perlu masukkan rempah dan bahan mentah saja kerana garam, gula dan asam pun sudah siap dicampur di dalam pek pracampur ini," katanya kepada petugas media di ibu pejabat TH di Mekah.
Rashidi berkata, satu pek rempah pracampur 5 kilogram itu boleh menjadikan masakan untuk hidangan seramai 200 hingga 250 orang jemaah.
Tambah beliau, pihaknya tidak menggunakan pes kerana dibimbangi berlaku kebocoran dan mudah rosak jika dibandingkan dengan serbuk, lebih-lebih lagi serbuk lebih ringan dan mudah dibawa.
Ditanya mengenai bahan mentah, beliau yang berpengalaman 17 tahun dalam bidang penyediaan, pengurusan sajian dan keselamatan makanan, memberitahu, kesemuanya dibeli daripada pembekal tempatan merangkumi sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam.
Bagaimanapun, menurut Rashidi, pihaknya tidak dapat penuhi selera setiap jemaah yang memiliki selera berlainan mengikut negeri masing-masing.
"Oleh sebab kita sediakan juadah mengikut menu yang semua orang tahu dan biasa masak seperti masak lemak, kari dan masak kicap," katanya.
Dalam pada itu, TH juga ada membuka kiosk atau kafeteria di 11 penempatan haji yang menyediakan pelbagai kuih-muih, jajan, roti dan minuman panas atau sejuk sekiranya ada jemaah yang ingin menukar selera atau mahu menikmati sarapan pagi atau petang.
Hajj Kafeteria ini dibuka seawal selepas subuh jam 4 pagi hingga 11 malam.
Beliau turut memaklumkan cabaran untuk menepati peraturan dan undang-undang kerajaan Arab Saudi yang lebih ketat berbanding di Malaysia antara kekangan utama buat petugas katering dalam operasi haji musim 1445M/2024.
Menurut Rashidi, sekiranya didapati wujud pelanggaran peraturan, ia akan menyebabkan dapur tidak lagi dibenarkan beroperasi, selain saman juga akan dikeluarkan.
Ujar beliau, peraturan yang ketat itu termasuk pihak katering tidak boleh menyediakan makanan sehari lebih awal walaupun mereka perlu memasak untuk ribuan jemaah haji pada satu-satu masa.
“Cabaran katering ini adalah kepatuhan kepada undang-undang kerajaan Arab Saudi kerana undang-undang di sini lebih ketat berbanding di Malaysia. Kadang kala akan ada penilaian dibuat untuk pastikan makanan disediakan tidak rosak dan memudaratkan jemaah, " katanya.
Menurut beliau, jika didapati bersalah mengikut undang-undang Arab Saudi, pertama sekali mereka akan disaman.
"Jika kes tersebut berat, kita akan disaman dan ditutup dapur serta tidak dibenarkan beroperasi,” ujar beliau yang menambah tiada kes keracunan dilaporkan sejak perkhidmatan katering beroperasi.
Rashidi berkata, terdapat juga cabaran berkaitan pengurusan waktu kerja, di mana tukang masak akan masak bermula 2 pagi sehingga ada yang tidak mendapat rehat yang secukupnya.
“Tukang masak ini kita bawa dari Malaysia dan seorang dapat satu dapur. Bayangkan jika dua orang tukang masak uruskan sajian untuk beribu-ribu jemaah. Selain itu, paling mencabar ialah untuk menepati citarasa jemaah haji yang berbeza-beza," ujar beliau.