'Cabaran Nasi Lemak' di Bangkok ubati kerinduan perantau Malaysia

Bernama
Oktober 4, 2020 20:05 MYT
'Cabaran Jaguh Nasi Lemak' merupakan satu lagi inisiatif untuk mempromosikan makanan Malaysia di Thailand. - Gambar fail
BANGKOK: "Cabaran Jaguh Nasi Lemak" yang pertama kali diadakan di sini, mengubati kerinduan anak rantau Malaysia yang menetap di Thailand terhadap makanan kegemaran rakyat di tanah air itu.
Kira-kira 130 rakyat Malaysia yang tinggal di Bangkok serta provinsi berhampiran tidak melepaskan peluang untuk menikmati jamuan nasi lemak yang dianjurkan oleh Kelab Malaysia Bangkok dan disokong oleh Kedutaan Malaysia di sini pada Sabtu.
Nasi lemak, merangkumi nasi yang dimasak dengan santan kelapa serta daun pandan dan dihidangkan bersama-sama sambal serta ikan bilis goreng, kacang tanah, telur rebus dan kepingan timun, dianggap sebagai makanan kebangsaan Malaysia kerana hidangan itu digemari oleh semua lapisan rakyatnya.
Pertandingan itu yang berlangsung di Eastin Hotel Makkasan Bangkok membolehkan penggemarnya menikmati 21 hidangan berbeza yang disediakan oleh warga Malaysia bergelar 'home-based chef' (cef berpangkalan di rumah) di sini.
Cabaran itu diadili oleh Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel, cef selebriti Malaysia Walter Lee dan Cef Scott Da Silva daripada Makan-Makan, sebuah restoran Malaysia di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia di Bangkok Suzilah Mohd Sidek, Presiden Kelab Malaysia Thailand Datuk Bobby Thai dan Pengurus Besar Eastin Hotel Makkasan Bangkok Pauline Chua.
Jojie berkata 'Cabaran Jaguh Nasi Lemak' merupakan satu lagi inisiatif untuk mempromosikan makanan Malaysia di Thailand.
"Saya gembira rakyat Malaysia yang tinggal di sini, sekalipun berbeza kaum, agama dan budaya, berkumpul bersama-sama untuk program ini, iaitu satu platform yang baik untuk menyatukan kita," katanya.
Pertandingan itu yang dicetuskan oleh Dr Silva Kumar, seorang warga Malaysia yang menetap di Thailand, bertujuan menghimpunkan cef berpangkalan di rumah bagi menghidangkan juadah kegemaran ramai tersebut kepada komuniti Malaysia di sini.
"Susulan penularan COVID-19 dan sekatan perjalanan, ramai rakyat Malaysia terkandas di Thailand dan mereka rindukan nasi lemak. Ada dalam kalangan mereka menjadi 'home-based chef' yang memulakan perniagaan nasi lemak menerusi media sosial," kata Silva Kumar kepada Bernama.
Katanya jawatankuasa penganjur menerima sambutan yang amat menggalakkan kerana ramai rakyat Singapura dan warga asing lain turut berminat untuk menyertai cabaran itu.
"Bagaimanapun, saya terpaksa mengehadkan penyertaan kepada rakyat Malaysia sahaja atas faktor ruang venue," katanya.
Sementara itu, Cef Walter Lee yang juga dikenali sebagai Cef Kani berkata 'Cabaran Jaguh Nasi Lemak' mampu menjadi platform untuk pertandingan nasi lemak antarabangsa pada masa depan.
"Ini akan meletakkan juadah Malaysia ini pada peta gourmet dunia," kata juri yang diiktiraf oleh World Association of Chefs' Societies (WACS) itu.
Para hakim menghadapi kesukaran untuk memilih pemenang kerana "persaingan yang amat sengit, justeru sukar untuk kami buat keputusan."
Husna Nadzri menewaskan 20 lagi peserta untuk muncul juara 'Cabaran Jaguh Nasi Lemak ' dan membawa pulang wang tunai 3,000 baht (RM395), pakej sut buatan khas bernilai 14,000 baht (RM1,840) serta baucar penginapan.
Rosnidar Ibrahim pula muncul naib juara sementara Noor Baizura Mohamad Mokhtar di tempat ketiga dan masing-masing menerima 3,000 baht (RM400) dan 1,000 baht (RM131) berserta baucar penginapan.
-- BERNAMA
#Cabaran Jaguh Nasi Lemak #cabaran nasi lemak #Bangkok #anak rantau #Malaysia #Thailand #Kelab Malaysia Bangkok #Kedutaan Malaysia #nasi lemak #makanan kebangsaan #jojie samuel
;