Cabaran getir Joe Biden baik pulih negara sedang berpecah-belah

Agensi
Januari 18, 2021 21:33 MYT
Beberapa penganalisis politik menasihati Biden supaya mengasingkan dirinya daripada kes perbicaraan Trump agar tidak menaikkan lagi suhu politik negara itu. - fotoREUTERS
WASHINGTON: Joe Biden berdepan pelbagai cabaran besar selepas memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat dan dipilih sebagai Presiden AS ke-46 pada 20 Januari ini.
Selain menangani pandemik COVID-19 yang telah mengorbankan lebih 4,000 penduduk setiap hari, Biden juga perlu menyatukan semula negara itu, terutamanya selepas serangan tercetus di bangunan Capitol pada 6 Januari lalu.
Presiden Donald Trump dijangka berdepan perbicaraan Senat sejurus selepas Biden mengganti tempatnya di White House pada Rabu ini.
Rusuhan di Capitol dikhuatiri akan berulang minggu ini, dengan beberapa protes kecil telah dimulakan dalam kalangan penyokong Trump.
BACA: AS Memilih: Joe Biden sah Presiden Amerika Syarikat ke-46
Berbaki hanya dua hari sebelum upacara angkat sumpah, aspek keselamatan di Washington DC kini ditingkatkan kepada tahap tertinggi dengan 25,000 anggota tentera dikerahkan di bandar itu.
BACA: Siapa Joe Biden? Ini lima fakta ringkas presiden baharu Amerika Syarikat!
“Tahap ancaman yang dilaporkan di Washington DC serta di seluruh negara merupakan satu kebimbangan besar,” kata Karen Hult, Profesor Sains Politik di Virginia Tech.
“Terdapat juga kebimbangan berhubung orang yang tidak dapat menerima keputusan pilihan raya, serta tidak menerima kerajaan (Biden) sebagai entiti yang sah.
“Kesemua perkara itu bakal merumitkan situasi buat seorang Presiden baharu,” kata Karen yang juga merupakan salah seorang anggota kumpulan Projek Peralihan White House.
Penganalisis lain bagaimanapun lebih optimis terhadap prospek penyatuan negara itu dalam jangka masa panjang.
Profesor Matt Dallek dari Universiti George Washington berpandangan bahawa Biden mampu meraih majoriti sokongan rakyat ketika di White House.
“Biden mempunyai peluang untuk menjadi Presiden buat majoriti negara,” kata Profesor Matt.
Beberapa penganalisis politik turut menasihati Biden supaya mengasingkan dirinya daripada kes perbicaraan Trump agar tidak menaikkan lagi suhu politik negara itu.
Biden sebaliknya perlu mengotakan janjinya untuk menjadi Presiden buat seluruh rakyat dalam mengharungi krisis ketika ini, termasuk penyokong Trump.
#Joe Biden #Donald Trump #White House #Washington #Amerika Syarikat #pilihan raya #COVID-19 #AS memilih #presiden #US Presidential Election #Capitol #rusuhan #angkat sumpah
;