Butina 'si perisik jelita' Rusia didakwa memporakporandakan politik AS
Sinar Harian
Julai 17, 2018 15:51 MYT
Julai 17, 2018 15:51 MYT
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendakwa seorang wanita Rusia terlibat dengan konspirasi yang bertindak sebagai ejen Rusia dengan cara menyusup masuk dalam kumpulan politik di negara itu.
'Perisik jelita', Maria Butina, 29, dikatakan menjalin hubungan rapat dengan parti Republikan dan menjadi peguam bela hak senjata api.
Dakwaan itu bagaimanapun tiada kaitan dengan siasatan peguam khas, Robert Mueller yang menyiasat campur tangan Moscow dalam Pilihan Raya Presiden pada 2016.
Peguamnya, Robert Driscoll dalam satu kenyataan, semalam berkata, Butina bukan seorang ejen sebaliknya dia adalah pelajar hubungan antarabangsa yang mahu menggunakan ijazahnya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang perniagaan.
"Tuduhan itu terlalu besar dan tidak ada petunjuk wanita itu ingin mempengaruhi atau melemahkan apa-apa dasar atau undang-undang AS. Klien saya hanya bekerjasama dengan beberapa entiti kerajaan selama beberapa bulan," ujarnya.
Difahamkan, wanita yang tinggal di Washington itu ditahan, kelmarin dan pendengaran kes dijadualkan pada esok.
Berita penangkapannya dibuat beberapa jam selepas Presiden Donald Trump bertemu dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin yang sekali lagi menafikan tuduhan Kremlin campur tangan dalam pilihan raya tersebut.
Minggu lalu, Jabatan Kehakiman (DOJ) memberkas 12 perisik Rusia yang didakwa melakukan penggodaman ketika pemilihan tersebut. - Sumber BBC
#Amerika Syarikat
#AS
#Donald Trump
#Moscow
#perisik
#pilihan raya
#Rusia
#siasatan
#Vladimir Putin
#wanita