Burung biru Twitter akan hilang tidak lama lagi
Agensi
Julai 23, 2023 07:30 MYT
Julai 23, 2023 07:30 MYT
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter, Elon Musk menyatakan hasratnya untuk mengubah logo Twitter menjadi huruf "X" daripada simbol burung biru yang sangat masyhur itu, sekali gus memperlihatkan perubahan terbesar sejak beliau mengambil alih pemilikan platform media sosial tersebut pada harga AS$44 bilion tahun lalu.
Mengumumkan perkara itu, bilionair berkenaan merancang untuk membuat perubahan itu dalam tempoh terdekat atau dalam secepat mungkin hari ini (Isnin).
“Tidak lama lagi kita semua akan berpisah dengan jenama Twitter secara berperingkat,” kata Musk dalam ciapan di akaun Twitter rasminya pada Ahad.
Beliau turut berkata: “Perubahan ini sudah seharusnya dilakukan lebih lama lagi.”
Sebaik mengambil alih Twitter pada Oktober 2022, Musk sudah beberapa kali membuat keputusan yang mengejutkan termasuk mengubah nama perniagaannya menjadi X Corp, mencerminkan visinya untuk menciptakan "super app" seperti WeChat di China.
Pada Oktober tahun lalu, beliau turut mengumumkan bahawa "membeli Twitter adalah pendorong kepadanya untuk menghasilkan X iaitu aplikasi buat segala-galanya."
Syarikat angkasa lepas yang diasaskan Musk, Space Exploration Technologies Corp dikenali sebagai SpaceX.
Pada tahun 1999, beliau mengasaskan syarikat rintis X.com iaitu sebuah perkhidmatan kewangan dalam talian yang kini dikenali sebagai PayPal.
Twitter dianggarkan mempunyai sekitar 200 juta pengguna aktif harian, namun, platform ini kerap mengalami kegagalan teknikal sejak ahli perniagaan ini membeli aplikasi burung tersebut selain memecat ramai kakitangan.
Sejak itu, sebilangan besar pengguna dan pengiklan kecewa dengan laman media sosial ini disebabkan tindakan mengenakan bayaran dilakukan oleh Musk untuk perkhidmatan yang sebelum itu ditawarkan secara percuma, perubahan dalam kawalan kandungan selain mengembalikan semula akaun-akaun yang sebelum itu diharamkan
Awal bulan ini pula, Musk mengakui Twitter telah kehilangan sekitar separuh daripada pendapatan iklannya sejak beliau mengambil alih pada bulan Oktober lalu.
Dalam usaha menyaingi Twitter, syarikat induk Facebook, Meta melancarkan platform teks sendiri yang dikenali sebagai Threads yang telah mencatatkan sehingga 150 juta pengguna tidak lama selepas ia dilancarkan awal bulan ini. - Agensi