Buruh binaan bunuh, simen jasad majikan gara-gara tidak dibayar gaji

Sinar Harian
Mac 1, 2025 08:30 MYT
Polis Metro Jakarta Timur menunjukkan bahan bukti berhubung kes berkenaan. - Foto Sinar Harian/Agensi
JAKARTA: Seorang buruh binaan di Jakarta Timur bertindak di luar kawalan apabila menyimen jasad majikannya selepas membunuh mangsa kerana dendam dan rasa sakit hati.
Detik.com melaporkan kejadian berlaku pada 16 Februari 2025 di sebuah premis rumah kedai di Rawamangun, Jakarta Timur.
Menurut Ketua Polis Metro Jakarta Timur, Kombes Nicolas Ary Lilipaly, kejadian berpunca daripada pertikaian antara suspek, ZA, 35, dan majikannya, JS, 69, berikutan isu pembayaran gaji dan kehilangan peralatan projek.
"JS dilaporkan mengajak ZA untuk membuat laporan polis mengenai peralatan yang hilang, tetapi ditolak oleh ZA dengan alasan mahukan gajinya dibayar terlebih dahulu.
"ZA dipercayai bersedia melaporkan kehilangan peralatan itu jika gajinya dilunaskan," kata Nicolas dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Tambahnya, bagaimanapun berlakunya pertengkaran antara mereka apabila mangsa dipercayai menampar ZA, menyebabkan suspek naik berang dan bertindak ganas.
"ZA memukul mangsa sehingga meninggal dunia sebelum menyimen jasadnya di dalam sebuah lot kedai bagi menghapuskan bukti," katanya.
Dalam pada itu menurut Nicolas lagi, hasil siasatan pihaknya mendapati bahawa motif utama pembunuhan adalah dendam akibat ditampar oleh mangsa serta perselisihan mengenai gaji.
"Pelaku sakit hati selepas ditampar oleh mangsa, menyebabkan dia bertindak spontan melakukan serangan sehingga membawa kepada kematian,"katanya.
Insiden berlaku ketika JS hadir ke lokasi untuk memantau projek pengubahsuaian rumah kedai.
Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan membawa suspek ke muka pengadilan. - Sinar Harian memetik agensi
#buruh binaan #bunuh #majikan #simen
;