Burkini: Diharamkan di Perancis, namun jualan meningkat di Australia
Agensi
Ogos 23, 2016 14:26 MYT
Ogos 23, 2016 14:26 MYT
Pengharaman pakaian renang wanita Muslimah, burkini, di Perancis telah meningkatkan jualan dan minat terhadap pakaian tersebut, termasuk daripada wanita bukan Islam, ujar pihak syarikat pereka dari Australia pada Selasa.
Burkini telah menjadi kontroversi besar di Perancis, dengan pengharamannya berkuat kuasa di 15 bandar di bahagian tenggara negara itu.
Begitupun, bagi warga Australia berketurunan Lubnan, Aheda Zanetti, yang mendakwa memulakan tanda dagang burkini atau burqini sejak sedekad lalu menganggap perkembangan di Perancis itu mencetus lebih banyak publisiti ke atas produknya.
“Sangat sibuk. Pada Ahad saja, kami menerima 60 tempahan. Semuanya daripada bukan Islam,” ujarnya yang turut menerima e-mel kata-kata sokongan kepadanya.
Ini termasuk mesej daripada pejuang kanser dan perenang lain yang menggunakan burkininya untuk melindungi tubuh daripada matahari.
“Sokongan yang saya terima kini memperkasakan wanita. Wanita kini mengukuhkan pendirian bersama tentang perkara ini. Ia bukan soal bangsa atau agama,” ujarnya.
Australia sekarang ini sedang berdepan dengan sentimen anti-Islam berikutan siri serangan oleh kumpulan radikal. Bagaimanapun, burkini tidak menjadi bahan kritikan di negara itu memandangkan ramai kini memilih untuk menutup tubuh mereka apabila berjemur di bawah matahari di pantai.
Sementara itu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada Isnin berkata idea untuk mengharamkan burkini di negaranya tidak sama sekali menjadi isu.
Menurutnya, rakyat Kanada perlu meninggalkan kontroversi itu, dan perlu saling menghormati hak serta pilihan individu.