Bunuh warga China: Rayuan ditolak, rakyat Malaysia bakal digantung di Singapura
AFP
April 5, 2016 17:51 MYT
April 5, 2016 17:51 MYT
Mahkamah Tinggi Singapura menolak rayuan terakhir yang dibuat oleh banduan dari Malaysia yang dituduh membunuh, yang membawa kepada hukuman gantung.
Kho Jabing, 31, dihukum gantung pada tahun 2010 selepas dituduh menyebabkan kematian seorang pekerja binaan warga China, dalam satu rompakan.
Beberapa rayuan dibuat oleh pihak Kho selepas itu.
Hakim Mahkamah Tinggi menukar hukumannya kepada penjara seumur hidup selepas satu perubahan pada Kanun Keseksaan yang menamatkan hukuman mandatori kepada pesalah kes bunuh.
Namun keputusan itu ditentang pendakwaraya negara dan Mahkamah Rayuan, mahkamah tertinggi Singapura, mengembalikan hukuman gantung pada Januari tahun lalu.
Kho dijadualkan menjalani hukuman pada November lalu namun peguamnya memfailkan satu lagi rayuan, yang kemudiannya ditolak Selasa lalu.
Hakim Chao Tick Hin berkata rayuan itu tidak mempunyai fakta baharu yang memungkinkan mahkamah mempertimbangkan untuk menukar hukuman berkenaan.
"Hujah pesalah mengatakan keputusan kami dalam menjatuhkan semula hukuman adalah salah. Tetapi tiada fakta untuk mengukuhkan hujah tersebut," kata Chao.
Dia berkata tarikh perlaksanaan baru hukuman itu akan ditentukan oleh presiden Singapura.
Kho nampak tenang selepas mendengar hukuman dijatuhkan, dan dia turut ditemani ibu dan kakaknya dari Sarawak.
Kali terakhir hukuman gantung dilaksanakan di Singapura adalah untuk pesalah mengedar dadah pada Julai 2014.
Kerajaan Malaysia belum memberikan sebarang reaksi setakat ini.