'Bunuh saudara-mara tidak pengaruhi Hamas' - Haniyeh
Astro Awani
Jun 26, 2024 08:00 MYT
Jun 26, 2024 08:00 MYT
KAHERAH: Ketua pejuang Hamas, Ismail Haniyeh berkata, sebarang perjanjian yang tidak menjamin gencatan senjata dan menamatkan serangan Israel di Gaza adalah 'bukan perjanjian'.
Selain itu, beliau turut menegaskan pembunuhan ahli keluarganya tidak mengubah penentangan Hamas terhadap Israel.
Tambah Haniyeh, membunuh saudara-maranya tidak akan mempengaruhi tindakan pejuang Hamas di mana-mana peringkat.
Kenyataan Haniyeh ini hadir selepas kematian kakaknya akibat serangan rejim Zionis Israel, pada Selasa.
Isnin lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akui sedia menerima perjanjian gencatan senjata separa, yang akan membuka jalan untuk warga Israel yang ditahan di Gaza dibebaskan.
Beliau bagaimanapun menekankan, tidak akan bersetuju dengan mana-mana perjanjian yang akan menamatkan perang di Gaza secara keseluruhannya.
Bulan lalu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan cadangan gencatan senjata.
Cadangan itu antara lain merangkumi jeda selama enam minggu, pembebasan tebusan Israel di Gaza dan penduduk Palestin yang ditahan di penjara Zionis.
Pertukaran ini kemudian akan membolehkan rundingan dijalankan bagi gencatan senjata kekal.