Bunuh anak tiri berusia 6 tahun kerana cemburu
Sinar Harian
Ogos 27, 2024 08:30 MYT
Ogos 27, 2024 08:30 MYT
KALIMANTAN: Warga kota Pontianak di sini digemparkan dengan kejadian pembunuhan tragis seorang budak lelaki berusia 6 tahun.
Apa yang lebih menyayat hati, mayatnya ditemui di dalam sebuah guni pada Khamis, 23 Ogos lalu oleh ayahnya berhampiran dengan kawasan rumah mereka.
Media tempatan melaporkan, pembunuhan itu dilakukan oleh ibu tiri mangsa kerana perasaan cemburu dan iri hati terhadap mangsa.
"Dia (suspek) berasakan suaminya lebih menyayangi anak kandungnya berbanding anak tiri, jadi kemarahan itu dilepaskan kepada anak saya," ujar ibu kandung mangsa yang dikenali sebagai Tiwi kepada pemberita pada Isnin.
Tiwi menjelaskan bahawa dia mengetahui motif pembunuhan itu apabila berjaya menemui suspek di balai polis.
Susulan itu, Tiwi berharap polis dapat memberikan hukuman yang setimpal kepada suspek.
"Saya mengetahui anak saya meninggal dunia daripada bekas suami saya pada malam Khamis.
"Malam itu saya sungguh terkejut apabila mendapat perkhabaran berita yang sungguh menyedihkan ini," katanya lagi.
Suspek kini sudah ditahan oleh polis daerah Kalimantan Barat dan bakal didakwa serta dibicarakan di atas kesalahan membunuh. - Sinar Harian memetik agensi