Bungkus tubuh dengan plastik semasa makan pisang dalam tren untuk elak COVID-19
Astro Awani
November 8, 2022 12:10 MYT
November 8, 2022 12:10 MYT
BEIJING: Seorang wanita baru-baru ini dirakam membungkus tubuhnya dengan menggunakan beg plastik semasa menaiki tren bawah tanah di wilayah Hubei, China, lapor laman berita Wion News pada Ahad.
Wanita yang duduk di kerusi itu membungkus dirinya sebelum makan buah pisang yang dibawa.
Menurut media tempatan, gelagat wanita itu menarik perhatian seorang penumpang bernama Wang. Dia merakam video kejadian tersebut kerana terhibur dan ingin melihat apa yang wanita itu lakukan.
Wang juga terkejut dengan pakaian wanita itu.
“Terdapat wabak COVID-19 sporadik di seluruh Wuhan tetapi pada pendapat saya, adalah agak melampau untuk wanita itu melindungi dirinya dengan berpakaian seperti ini.
“Perbuatan makan dalam kereta api bawah tanah juga tidak sesuai. Dia mengasingkan diri daripada orang lain dengan membungkus dirinya di dalam beg plastik,” kata Wang yang dipetik agensi berita tempatan.
Perbuatan makan di dalam kereta api bawah tanah adalah dilarang di China. Bagaimanapun, wanita itu menggunakan helah bijak untuk melakukannya dan mematuhi peraturan ketat COVID-19 di negara itu.
China yang merupakan lokasi di mana koronavirus ditemui pada 2019, adalah antara negara yang masih melaksanakan dasar ‘Sifar COVID’ dengan menguatkuasakan perintah berkurung ke atas berjuta-juta orang bergantung kepada angka jangkitan.