Bunga matahari simbol memperingati MH17 - Keluarga

Bernama
Mac 8, 2020 05:57 MYT
Nur Diyana Yazeera Yazli, anak Ketua Pramugari MH17 Allahyarham Dora Shahila Kassim mengambil bunga matahari sebagai tanda peringatan kepada mangsa MH17 yang terkorban, di Kedutaan Australia di Kuala Lumpur, 17 Julai, 2019. --fotoBERNAMA/Fail
Bunga matahari biasanya membawa senyuman kerana warna kuningnya yang ceria.
Namun, perasaan itu tidak sama buat Piet Ploeg, yang kehilangan abangnya, Alex, kakak ipar dan anak saudara lelaki dalam insiden penerbangan MH17 pesawat Malaysia Airline, yang ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai, 2014.
"Sebelum insiden MH17, saya sangat suka bunga matahari tetapi selepas (tragedi) MH17 saya benci bunga matahari kerana ia membawa saya kembali kepada kenangan yang amat sedih. Saya tidak suka melihat bunga matahari," katanya kepada wartawan Malaysia semasa lawatan ke Monumen Nasional MH17, di Vijfhuizen, berhampiran lapangan terbang Schiphol.
Beberapa bahagian bangkai pesawat MH17 ditemui di ladang bunga matahari di Ukraine.
Ploeg, yang merupakan Pengerusi Yayasan Bencana Penerbangan MH17 berkata mereka menanam bunga matahari di kawasan itu bagi memperingati tragedi tersebut.
Selain itu, 298 pokok turut ditanam di kawasan peringatan berkenaan yang dilabel dengan nombor, nama, umur dan kewarganegaraan mangsa yang terbunuh dalam insiden tersebut.
"Semasa kemuncak musim panas, pokok-pokok ini dikelilingi lebih 20,000 bunga matahari, sama seperti di ladang bunga matahari di timur Ukraine," katanya.
Ditanya perasaannya terhadap perbicaraan MH17 yang akan bermula Isnin, Ploeg berkata beliau tidak sabar untuk mengetahui kebenaran melalui prosiding itu.
"Semasa perbicaraan, kita akan tahu apa yang berlaku, mengapa ia berlaku, siapa yang bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, Anton Kotte, Bendahari Yayasan Bencana Penerbangan MH17 juga berharap perbicaraan itu akan membawa keadilan kepada semua ahli keluarga mangsa.
Beliau kehilangan anak lelaki, menantu dan cucu berusia enam tahun dalam tragedi itu.
Perbicaraan pada Isnin akan menyaksikan prosiding jenayah ke atas empat individu yang dituduh menembak jatuh pesawat MH17, dijadual berlangsung di Mahkamah Daerah The Hague, di Kompleks Kehakiman Schiphol (JCS) di Badhoevedorp.
Empat individu berkenaan, tiga warganegara Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, serta seorang warganegara Ukraine, Leonid Kharchenko.
Penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, telah ditembak jatuh ketika melewati ruang udara Donetsk di Ukraine. Insiden itu mengorbankan 298 penumpang termasuk 15 anak kapal termasuk 43 rakyat Malaysia, 193 rakyat Belanda dan 27 rakyat Australia.
-- BERNAMA
#Amsterdam #bunga matahari #ditembak jatuh #Kuala Lumpur #ladang #mahkamah #MH17 #penerbangan #pesawat #rakyat Malaysia #Rusia #Ukraine
;